PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 16 lagi kluster baharu Covid-19 dilaporkan pada Khamis, termasuk 11 daripadanya adalah kluster di tempat kerja sementara 3,170 kes baharu direkodkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, kluster di tempat kerja membabitkan dua di Kuala Lumpur iaitu Kluster Jalan Terolak dan Kluster Pasar Borong KL; di Johor melibatkan Kluster Seri Bayu, Kluster Tampoi Tujuh dan Kluster Jalan Sempadan serta Kluster Kota Muhibbah dan Jalan Slim masing-masing di Perak.
Juga kluster di tempat kerja adalah Kluster Silimpopon dan Ladang Sebrang (Sabah); Kluster Orion di Kedah serta Kluster Jalan Canang Emas di Selangor.
"Kluster aktiviti keagamaan pula Kluster Taman Sejahtera di Perak, sementara kluster kumpulan berisiko adalah Kluster Mandin Jaya (Pulau Pinang) dan Kluster Jalan Kelapa (Selangor) serta dua kluster jangkitan komuniti ialah Kluster Kampung Tanah Merah (Terengganu) dan Kluster Gunung Raya (Kedah),” katanya.
Bercakap pada sidang akhbar perkembangan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) pada Khamis beliau berkata, pengesanan kluster baharu itu menjadikan jumlah kluster kini 701 dengan 327 kluster yang masih aktif.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada 3,170 kes baharu hari ini, 3,162 kes adalah jangkitan tempatan manakala lapan kes import, menjadikan jumlah kes aktif mencecah 41,755.
Beliau berkata, Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi iaitu 576, diikuti Selangor (545), Johor (423), Sabah (401), Perak (245), Pulau Pinang (171), Kedah (156), Kelantan (135), Sarawak (132), Melaka (106) dan 102 kes di Negeri Sembilan.
"Baki negeri lain pula mencatatkan dua angka iaitu Terengganu dengan 57 kes, Pahang (48), Putrajaya (33), manakala Labuan 32 kes serta Perlis dengan lapan kes,” katanya.
Dr Noor Hisham juga berkata, terdapat 260 kes positif Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 103 daripada mereka, memerlukan bantuan pernafasan.
Selain itu, 12 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini dan semuanya merupakan warganegara, yang berumur lingkungan 47 hingga 84 tahun dengan latar belakang berpenyakit, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara sebanyak 642 kes.
Kes kematian itu melibatkan empat mangsa di Johor, tiga di Selangor, dua di Sabah dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 2,490 kes pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 130,152 kes atau 75.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. - Bernama