SEREMBAN - Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) menyarankan agar semua universiti di negara ini dapat memberikan lebih ruang kepada pensyarah dan profesor bagi menyumbang idea dan kepakaran termasuklah semasa Covid-19.
Presidennya, Profesor Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata, bebanan tugas tambahan yang ditanggung pensyarah telah menjadi kekangan kepada mereka untuk berkongsi ilmu bagi kebaikan negara dan masyarakat.
Iklan
Iklan
"Peranan pensyarah kini jauh lebih luas dan berubah mengikut keperluan zaman. Kalau dalam tahun 1990-an, skop tugas pensyarah adalah sekitar 5P iaitu, Pengajaran dan Pembelajaran, Penyelidikan, Perundingan, Pengurusan dan Perkhidmatan Masyarakat, namun kini kita diberikan peranan tambahan iaitu penjanaan pendapatan, pengantarabangsaan, pengiktirafan profesional dan perhubungan dengan industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Justeru, beliau menyarankan agar semua universiti membenarkan kembali pelaksanaan waktu anjal kepada ahli akademik sebagaimana diberikan kepada ahli akademik di Universiti Sains Malaysia (USM).
Mohd Idrus berkata demikian sebagai mengulas kenyataan tokoh pendidikan yang juga pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) Tun Dr Arshad Ayub pada Isnin lalu dipetik sebagai berkata bahawa kualiti lebih 2,500 profesor di negara ini tidak mencapai standard yang diharapkan.
Mengenai standard yang diperkatakan, Mohd Idrus berkata, ia ditentukan menerusi proses penilaian kriteria kenaikan pangkat yang ditetapkan.
"Namun, apa yang disebut oleh Tun Dr Arshad adalah relevan kerana hubungan antara ahli akademik khususnya profesor dan ahli profesional di universiti tidak ketara akrabnya dan hanya segelintir ahli profesional yang terpilih melibatkan diri dengan aktiviti di universiti,” katanya. - Bernama