Angka korban serangan bom bunuh diri di Baghdad meningkat

Iklan
Lokasi serangan bom berkembar yang menggegar sebuah pasar di Baghdad pada Khamis. - Foto: Agensi

BAGHDAD - Angka korban serangan bom bunuh diri berkembar di ibu negara Iraq pada Khamis meningkat kepada sekurang-kurangnya 32 orang manakala 110 yang lain cedera.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, kejadian itu berlaku apabila pengebom bunuh diri pertama memasuki sebuah pasar di Baghdad dan berpura-pura jatuh sakit.

Iklan
Iklan

"Dia kemudiannya meletupkan dirinya apabila orang ramai mula mengerumuninya. Pengebom bunuh diri kedua kemudiannya melakukan tindakan sama tidak lama selepas itu," ujarnya.

Media tempatan melaporkan lokasi kejadian serangan berdarah paling buruk dalam tempoh tiga tahun itu telah dikepung bagi memberi laluan kepada pasukan paramedik untuk membantu mangsa cedera yang bergelimpangan.

Iklan

Difahamkan, serangan dahsyat itu berlaku ketika Iraq sedang bersiap sedia mengadakan pilihan raya yang pada mulanya dijadualkan pada Jun depan, namun tarikh itu ditunda kepada Oktober bagi memberi tempoh kepada pihak berkuasa pilihan raya mendaftar pengundi dan parti baharu.

Pada 2018, lebih 30 terkorban apabila pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di Dataran Tayaran di Baghdad beberapa bulan sebelum pusingan akhir Pilihan Raya Parlimen berlangsung. - AFP

Iklan