PORT DICKSON – Pasangan suami isteri yang juga pemilik gerai di Pantai Saujana Batu 4 di sini bersedia menawarkan makanan percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan dan terkesan akibat pandemik Covid-19.
Usaha murni Mohd Amirul Ashraf Norazlin, 27, dan Nor Intan Shafiqah Abd Aziz, 25, itu mula dilakukan sejak Jumaat lalu.
"Saya tahu ramai yang hidupnya terkesan sekarang akibat Covid-19. Tapi saya nak membantu pun saya bukannya banyak duit.
"Jadi timbul idea untuk berkongsi rezeki dengan cara beri makanan percuma pada mereka yang susah. Saya percaya jika saya membantu orang dengan ikhlas, hidup saya akan dipermudahkan," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Amirul berkata, pada hari pertama projek amalnya itu, kira-kira 70 pelanggan yang datang mengambil peluang sehinggakan dia dan isteri tidak menang tangan.
Meskipun begitu, dia sedikit pun tidak pernah berasa rugi malah mendapati perniagaannya lebih maju.
"Saya yakin rezeki Allah itu dan gembira dapat membantu orang dengan cara begini. Lagipun saya bernazar jika perniagaan saya makin maju, saya nak buka kedai kedua di tempat lain.
"Malah sejak beramal begini, saya rasa setiap kesulitan hidup dipermudahkan ALLAH. Sekarang ini kalau saya rasa susah sikit, saya akan lebih banyak beramal," katanya.
Menurutnya, pada kali pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, dia menawarkan separuh harga bagi semua menu.
Katanya, gerainya menawarkan pelbagai makanan seperti mi kari, nasi ayam, mi sup, laksa dan air batu campur.
Malah kerja amal Mohd Amirul itu turut mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang turut sama menghulurkan sumbangan bagi menjayakan projek itu.
"Datanglah ke gerai saya jika anda rasa tiada duit untuk makan. Jangan malu, makanlah sampai kenyang. Anda adalah saham akhirat saya.
"Sepanjang PKP ini gerai saya buka setiap hari melainkan hari Isnin sahaja," katanya.