WASHINGTON - Beberapa individu yang diberi pengampunan saat akhir oleh bekas Presiden Donald Trump mungkin berdepan pendakwaan baharu termasuk bekas pembantunya, Steven Bannon.
Bannon sebelum ini dituduh menipu orang ramai bagi mengumpul dana untuk membina tembok di sempadan Mexico yang pernah menjadi kemegahan dalam dasar luar Trump.
"Individu terbabit belum tentu selamat sekiranya Jabatan Keadilan di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden mendapati Trump menyalahgunakan kuasanya semasa membuat pengampunan tersebut," kata bekas pendakwa raya, Andrew Weissmann.
Weissmann turut mendapati, ucapan pengampunan Trump sebelum sambutan Krismas lalu terlalu janggal dan aneh.
"Semua individu seperti Elliot Broidy (bekas pengmpul dana Trump) diberi pengampunan selepas mengaku bersalah kerana bersekongkol melanggar undang-undang melobi sumbangan asing.
"Paul Manafort (bekas pengurus kempen Trump) pula diberi pengampunan biarpun sebelum ini melakukan jenayah serius iaitu dakwaan termasuk konspirasi pengubahan wang haram, konspirasi menentang AS dan gagal mendaftarkan ejen luar Ukraine yang pro-Rusia.
"Mereka ini sebenarnya terdedah kepada pendakwaan baharu sekiranya pengampunan mereka melibatkan salah guna kuasa oleh Trump," katanya.
Pada Disember tahun lalu, keputusan Trump memberi pengampunan kepada ahli kongres Republikan yang korup dan pengawal keselamatan yang membunuh 14 orang awam dalam tragedi pembunuhan di Baghdad, Iraq pada 2007, menimbulkan kecaman dan kemarahan pelbagai pihak.
Keputusan eksekutif yang dilakukan Trump itu dilihat sebagai membalas sokongan kuat yang diberikan kepadanya. - Agensi