PdPR peningkan ibu bapa

Iklan
Muhammad Daniyal Alwafi mengikuti PdPR dengan ditemani datuknya, Ahmad Dzahiri. Gambar kecil: Mohamad Ali

SHAH ALAM - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mendedahkan terdapat ibu bapa yang mengeluh sejak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula Rabu.

Presidennya, Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, antara keluhan daripada ibu bapa adalah tidak dapat menyediakan peralatan yang mencukupi untuk anak-anak mereka apabila PdPR diperkenalkan.

Iklan
Iklan

"Contohnya mereka yang ada anak empat. Nak beli (peralatan kesemuanya) nampaknya (peruntukan) tak ada.

"Sebab pada satu ketika, kerajaan kata sebahagian pelajar boleh datang ke sekolah dan sebahagian lagi PdPR. Jadi ibu bapa tidak mempunyai peruntukan sebanyak itu bagi menyediakan peralatan (untuk PdPR) pada masa ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Mohamad Ali berkata, antara masalah lain dihadapi oleh ibu bapa di luar bandar dan pedalaman pula adalah dari segi talian dan kelajuan internet.

"Masalah ketiga adalah tidak semua buku elektronik telah disediakan dengan sempurna,” katanya.

Iklan

Namun begitu, beliau menolak sekiranya cadangan sistem pembelajaran berpusat menggunakan televisyen pendidikan dilaksanakan.

"Tidak ada interaksi antara pelajar dan guru. Pelajar hanya mengikut arahan. Tengok televisyen sahaja macam tengok wayang.

"Kita sedia maklum bahawa pelajar mempunyai perbezaan dalam mengkhatamkan pelajaran mereka. Kalau di sekolah secara bersemuka, guru boleh mengetahui reaksi pelajar sama ada mereka memahami atau tidak,” jelasnya.

Menurutnya, penggunaan televisyen pendidikan juga mempunyai masalah lain sekiranya dalam sesebuah keluarga itu mempunyai jadual waktu yang berbeza atau sama.

"Sebagai contoh, katakanlah program (pembelajaran bermula) jam 10 pagi. Murid Tahun Dua nak tengok TV, Tahun Empat pun sama. Apatah lagi Tingkatan Satu. Jadi, macam mana? Ada satu sahaja televisyen di rumah,” katanya.

Sehubungan itu, antara cadangan pelaksanaan dan penambahbaikan dikemukakan oleh Mohamad Ali adalah dengan mewujudkan pusat rujukan yang ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah bagi menangani masalah yang dihadapi pelajar, ibu bapa dan guru dalam melaksanakan PdPR.

"Pusat rujukan itu perlu juga mempunyai talian hotline untuk dihubungi dan pegawai yang bertanggungjawab khusus mengenai perkara ini,” katanya.

Selain itu, Mohamad Ali berkata, latihan dan pendedahan mengenai pelaksanaan PdPR juga seharusnya diberikan kepada ibu bapa dan guru.

"Guru sekolah rendah dan menengah berbeza PdPRnya. Buku elektronik pun berbeza penggunaan dan penilaiannya.

"Selain itu, saya juga mencadangkan agar pegawai pelajaran didedahkan PdPR di negara-negara yang telah lama menggunakannya supaya dapat diubahsuai dan diambil contoh yang baik untuk kita manfaatkan,” katanya.