RAWANG - Tiga beradik terpaksa berkongsi satu telefon bagi mengikuti kelas secara dalam talian bagi sesi persekolahan 2021 yang bermula pada Rabu.
Keadaan itu dikongsikan ibu mereka, Nor Munirah Mohd Nadzie, 37, yang merupakan antara golongan yang menghadapi kekangan membiasakan diri dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Nor Munirah berkata, tiga anaknya termasuk seorang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 tiada pilihan terpaksa bergilir-gilir mengikuti kelas pada sesi pagi kerana mempunyai hanya satu telefon.
"Saya terpaksa maklumkan pada guru yang anak saya terpaksa keluar dari kelas online bagi memberikan anak-anak yang lain mengikuti kelas secara giliran.
"Ini menyebabkan anak-anak banyak ketinggalan pelajaran. Saya terpaksa mengharapkan bantuan guru supaya dapat kemas kini arahan selanjutnya menerusi grup WhatsApp," katanya di sini pada Rabu.
Menurutnya, PdPR itu tidak membebankan bagi kebanyakan ibu-bapa tetapi sedikit rumit untuk golongan kurang berkemampuan.
"Saya sudah mohon Yayasan YTL untuk telefon pintar percuma tetapi belum ada jawapan.
"Sementara itu, saya ada juga meninjau komputer riba terpakai, cuma tidak mudah menyediakan wang yang banyak bagi kami yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
"Saya harap kerajaan dapat membantu orang kurang kemampuan seperti saya untuk pemberian peralatan lengkap pembelajaran (laptop dan internet) bagi membolehkan semua pelajar dapat mengikuti PdPR tanpa sebarang masalah," katanya.
Seorang lagi ibu pelajar, Ainul Aizura Ahsan, 46, pula berharap pelajar-pelajar diberikan beberapa alternatif untuk mengikuti kelas selain bergantung sepenuhnya dengan aplikasi Google Classroom.
"Akibat terlupa kata laluan, anak saya tidak dapat daftar masuk untuk ikuti kelas. Sementara masalah itu diselesaikan, saya harap guru boleh kongsikan video kelas yang dihantar dalam grup WhatsApp bagi memudahkan ibu-bapa pantau dan bantu anak-anak belajar dari rumah.
"Dari segi gajet tidak terlalu bermasalah, saya dah buat persiapan awal dengan sediakan telefon pintar buat empat anak-anak yang bersekolah kerana tidak mahu mereka ketinggalan dalam pembelajaran," katanya.