Sanggup buat apa sahaja kerana gila kuasa

Iklan
Gambar hiasan.

SEMINGGU dua ini Merak Jalanan tengok orang politik sibuk berebut kuasa. Dalam keadaan rakyat sedang ‘sesak’ dengan wabak Covid-19, mereka boleh pula bercakaran sesama sendiri bagi mencapai maksud peribadi.

Situasi itu mengingatkan Merak Jalanan pada lagu kumpulan Wings iaitu ‘Hukum Karma’. Sebahagian liriknya ada menyebut,"Gila darjat... Gila nama... Gila kuasa... Gila harta... Semua gila...” Lagu tulisan anggota Wings itu jelas menceritakan tentang gelagat manusia yang gila kuasa.

Iklan
Iklan

Perihal gila kuasa itu Merak Jalanan tengok bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang politik. Malah, ia juga berlaku dalam organisasi, jabatan kerajaan, pertubuhan dan komuniti. Ramai yang cenderung berebut kuasa mahu menjadi ketua.

Kalau gagal cita-cita tersebut, maka berlakulah drama menghasut, saling memfitnah dan tikam belakang sehingga memecah-belah sesebuah organisasi yang berdiri kukuh.

Iklan

Apabila bercakap soal gila kuasa ini, tiba-tiba Merak Jalanan teringat kisah seorang sahabat yang menganggotai sebuah kelab kereta import jenama ‘X’ dari Jepun.

Selepas gagal menjawat sebarang jawatan dipertandingkan, dia menubuhkan kelab baharu model kereta yang sama. Bezanya kelab tersebut ditubuhkan berdasarkan warna kereta yang dipandunya iaitu putih.

Iklan

Susulan tindakannya itu, wujud lebih banyak kelab kereta berdasarkan warna. Rata-ratanya ia diketuai oleh mereka yang begitu mengidam jawatan ketua sehingga wujud kelab kereta ‘X’ merah, biru, hitam dan kuning dengan ahli yang tidak seberapa.

Begitulah situasi yang terjadi apabila perebutan kuasa berlaku. Sebuah organisasi yang besar dan kuat akhirnya menjadi lemah disebabkan oleh sikap gila kuasa dalam masyarakat.

Lebih teruk, perangai gila kuasa juga menyebabkan silaturahim sesama manusia terputus.