Pengusaha hotel rayu benarkan penganjuran majlis ikut SOP

Iklan
MUHAMMAD TAHA

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Pengusaha hotel mengharapkan kerajaan membenarkan penganjuran majlis di hotel-hotel dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) memandangkan situasi pandemik di negara ini dijangka berlarutan dan memberi kesan kepada pemain industri.

Pengurus Besar Kumpulan Operasi Attana Hotels & Resort, Muhammad Taha Zainal berkata, walaupun pemain industri kebanyakannya telah bersedia sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, namun jika keadaan berlarutan ditambah dengan pelaksanaan PKP 2.0, industri hotel akan berdepan impak yang lebih besar.

Beliau berkata, secara umumnya, pengusaha hotel memerlukan ruang bagi membangunkan semula industri yang kini semakin suram dan hanya menunggu masa untuk berkubur.

Iklan
Iklan

"Pengusaha hotel juga memerlukan lebih sumbangan dan inisiatif daripada pihak kerajaan kerana keadaan pandemik ini dijangka berlarutan sehingga akhir tahun 2021 dan tidak akan pulih sepenuhnya.

"Ini memandangkan banyak hotel terpaksa ditutup ekoran tidak dapat beroperasi dan juga pekerja terpaksa diberhentikan memandangkan mereka menanggung kerugian setelah pelaksanaan PKP sebelum ini,” katanya.

Iklan

Muhammad Taha menambah, walaupun terdapat inisiatif yang diberi oleh kerajaan antaranya Program Subsidi Upah, diskaun elektrik dan pengecualian cukai untuk pelancongan dalam negeri tetapi keadaan pada ketika ini masih belum cukup dalam usaha membangunkan serta memulihkan industri hotel.

"Kami merayu supaya kerajaan dapat membantu kami dan dalam masa yang sama dapat berbincang dengan pihak perhotelan supaya ada garis panduan yang betul dapat dijalankan dan hotel masih boleh beroperasi mengikut SOP.

Iklan

"Kami perlukan sokongan daripada pihak kerajaan dan bantuan lain memandangkan kami turut menyumbang kepada ekonomi negara melalui pelancongan dalam negara.

"Justeru kami mengharapkan kerajaan memberi perhatian segera kerana dikhuatiri lebih banyak pemain hotel akan terkubur,” katanya.