KUANTAN- Pelaksanaan solat Jumaat dibenarkan di negeri ini dengan bilangan jemaah bergantung kepada kapasiti ruang solat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.
Penentuan kehadiran jemaah secara terbuka dan wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada termasuk mengimbas suhu badan, merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera dan mengamalkan penjarakkan fizikal.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Dr Zulkifle Ali berkata, bagi individu yang masuk ke negeri ini sama ada anak tempatan atau pelawat diwajibkan menggunakan ruang solat khas yang disediakan dalam tempoh 10 hari.
Menurutnya, mereka yang bergejala dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan.
"Aktiviti solat fardu juga dibenarkan bergantung kepada SOP sedia ada dan bagi jemaah baru pulang dari luar atau mereka yang dari negeri luar perlu menggunakan ruang solat khas yang disediakan.
"Bagi aktiviti pengajian ilmu dibenarkan diadakan di masjid selepas solat Subuh dan antara waktu Maghrib dan Isyak sahaja," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Dr Zulkifle berkata, penceramah dari luar Pahang dan aktiviti jamuan selepas pengajian ilmu tidak dibenarkan.
"Bagi pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19 dan pengurusan nikah, cerai serta rujuk bagi negeri Pahang tidak dibenarkan diadakan di masjid atau surau.
"Ia hanya boleh diadakan di Pejabat Agama Islam Daerah dengan jumlah kehadiran tidak melebihi lapan orang.
"Bagi pasangan pengantin berlainan daerah, mereka perlu mendapatkan permit pergerakan daripada pihak berkuasa," katanya.
Tambah beliau, kadi daerah akan menentukan giliran tempoh waktu pelaksanaan akad nikah bagi pasangan pengantin mengikut jadual yang disusun Pejabat Agama Islam Daerah.
"Bagi majlis akad nikah pasangan atau salah seorang dari luar Pahang juga dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.
"Mana-mana individu yang gagal mematuhi arahan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.