KUANTAN - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajar melepaskan tanggungjawab sebagai Presiden UMNO demi bangsa, kepentingan parti serta 3.6 juta ahlinya.
Ketua UMNO Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, ia berikutan kemelut pimpinan tertinggi UMNO khususnya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli Parlimen yang terus berlarutan sejak Pilihan Raya UMNO ke-14 (PRU14) dan Perhimpunan Agung UMNO 2018.
Menurutnya, kemelut itu gagal diselesaikan malah tindak tanduk ahli MKT dan ahli Parlimen sudah tidak terarah hingga terdedah kepada kehilangan keyakinan orang Melayu terhadap parti itu.
"Sedangkan keyakinan padu pengundi Melayu amat diperlukan UMNO untuk berdepan PRU15.
"Ditambah dengan arah tuju yang tidak jelas dan lemah ketegasan tindakan telah melemahkan daya juang dan kesungguhan 3.6 juta ahli UMNO," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Tajuddin berkata, ia diburukkan lagi dengan kesan langsung tuduhan salah laku terhadap pimpinan UMNO yang menjadi beban kepada kebangkitan semula parti itu.
"Ahli UMNO juga tidak jelas kewajaran mendukung pemimpin yang pernah dipecat oleh ahli MKT sendiri.
"Penolakan kerjasama dengan Bersatu oleh bahagian-bahagian UMNO jelas memperlihatkan ketegasan ahli UMNO terhadap pimpinan kerajaan Bersatu," katanya.