HULU SELANGOR - Degil! Itu yang boleh digambarkan kepada pengusaha sebuah kilang melebur tembaga di kawasan Perindustrian Zuhrah, Rasa, di sini yang masih beroperasi meskipun sudah lebih tiga kali premisnya disita Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) sebelum ini.
Bahagian Korporat MDHS menerusi satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, kilang terbabit didapati beroperasi tanpa kebenaran dan lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut kenyataan itu, ketika operasi bersepadu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak polis di lokasi, pintu utama kilang masih berkunci menggunakan mangga yang dipasang ketika sitaan premis dilaksanakan MDHS sebelum ini.
"Anggota penguat kuasa mendapati premis beroperasi seperti biasa dan terdapat beberapa pekerja warga asing melarikan diri.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa pallet jongkong tembaga yang telah siap diproses diletakkan berhampiran bangunan kilang," katanya.
Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan lanjut pihak polis menemui 16 pekerja warga asing terdiri daripada warga China dan India berada di dalam bilik pekerja di kawasan kilang.
Katanya, kesemua pekerja tersebut dikumpulkan untuk pemeriksaan dokumen perjalanan.
Menurutnya lagi, operasi pemeriksaan susulan terbabit dilakukan menggunakan peruntukan Undang-undang Kecil 35 dan 36, Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007.
"MDHS menyita tiga buah forklift, dua buah set generator, 20 jongkong tembaga dan beberapa jenis peralatan yang digunakan untuk meleburkan tembaga terbabit.
"Kesemua barang ini disita berpandukan kepada Undang-undang Kecil 38(1), Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007," katanya.
Tambahnya, anggota operasi juga menyerahkan notis arahan untuk memberhentikan operasi kepada wakil pengurusan kilang berkenaan.
Keseluruhan barang yang disita dibawa ke stor MDHS Kuala Kubu Bharu untuk tahanan dan tindakan selanjutnya.