SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan, terdapat banyak cara dan amalan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan jangkitan wabak Covid-19.
Pada masa sama, Dr Mahathir yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi berkata, khidmat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah begitu dihargai namun wabak itu terlalu besar untuk ditangani oleh seorang individu sahaja.
"Sesungguhnya ada banyak cara dan amalan yang boleh kurangkan jumlah jangkitan. Diharap doktor-doktor pakar dapat berbincang dengan pegawai kerajaan.
"Khidmat Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham) dalam menangani wabak Covid-19 amat dihargai. Tetapi wabak ini agak terlalu besar untuk ditangani oleh seorang sahaja," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkongsi mengenai kisah seorang daripada ahli keluarganya tidak dapat dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti Covid-19 dengan alasan ia tidak teruk, baru baru ini.
"Sebaliknya ia diarah kuarantin di rumahnya. Tetapi semasa di rumah keadaannya menjadi teruk sehingga tidak dapat bernafas. Maka dia pun dimasukkan ke hospital.
"Masalahnya semasa dia berada di rumah, penyakitnya dijangkit kepada ahli di rumah. Saya percaya dia tidak dapat dimasukkan ke hospital awal kerana jumlah yang dijangkiti terlalu ramai. Tiap hari 4000 dikesan," katanya.
Namun demikian, beliau berpandangan, jika pesakit berada di rumah, ahli keluarga akan dijangkiti maka lebih ramailah yang akan terjangkit.
"Sepatutnya mereka dimasukkan ke dalam kuarantin berasingan dari keluarga. Jika selepas sekian lama pesakit mungkin sembuh atau perlu dirawat dalam hospital. Setelah didapati tidak ada jangkitan maka bolehlah balik ke rumah.
"Sudah tentu tempat kuarantin hendaklah sesuai. Dari gambar yang diperoleh katil-katil terlalu dekat dan apabila ada lawatan pembesar pesakit akan berkumpul. Ini akan menyebabkan jangkitan merebak," katanya.