ALLIANZ Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menubuhkan sebuah program peningkatan upaya untuk membantu empat organisasi sosial.
Ketua Allianz4Good, Ng Siew Gek berkata, program tersebut dianjurkan Allianz Malaysia melalui bahagian tanggungjawab korporat, Allianz4Good bersama Ashoka, organisasi usahawan sosial, perniagaan dan kerajaan dalam memudahkan perubahan sistematik melalui kemahiran dan kepakaran.
Tambahnya, program tersebut bekerjasama dengan empat organisasi bukan bermotifkan keuntungan dan perusahaan sosial yang disokong menyertai program peningkatan upaya.
"Program tersebut menampilkan Persatuan Mobiliti Selangor dan Kuala Lumpur yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk pengguna berkerusi roda, Gem and Bread Special Needs Support Group Kuala Lumpur and Selangor menyediakan perkembangan pendidikan dan kemahiran sosial lanjutan untuk belia dan orang dewasa berkeperluan khas.
"Manakala, Deliccia sebagai perusahaan sosial yang membantu ibu tunggal dan suri rumah miskin bandar untuk menjana pendapatan melalui perkhidmatan katering dan penghantaran makanan, dan Havan Clothing ialah perusahaan sosial yang memperkasakan kanak-kanak di rumah perlindungan melalui fesyen dan pembelajaran EQ,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ng Siew Gek berkata, program ini penting untuk organisasi sosial dalam memikirkan kelestarian organisasi mereka.
Menurutnya, hal itu juga melibatkan kakitangan Allianz Malaysia sebagai mentor yang bermula dari Oktober 2019 sehingga Julai 2020.
Tambah Siew Gek, organisasi tersebut melakukan kerja-kerja dalam ruang sosial mereka untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh komuniti yang kurang bernasib baik.
"Walaupun dengan niat yang baik, kami melihat mereka berdepan dengan kesukaran untuk mengembangkan dan mengekalkan organisasi mereka. Dengan situasi dan cabaran semasa, lebih-lebih lagi sekarang ia penting kepada organisasi sosial untuk berdaya tahan.
"Kami percaya penyelesaiannya ialah untuk membina organisasi pelopor yang bukan sahaja mampu menyokong komuniti mereka tetapi juga memperkasakan mereka untuk menjadi pelopor dan mencipta impak. Fasa awal program tersebut menyaksikan perusahaan sosial dan NGO yang terlibat menghadiri tiga bengkel yang fokus kepada perubahan sistem, strategi kepimpinan, dan strategi pengumpulan dana kemudian rombakan organisasi dilakukan bagi menumpukan kepada penambahbaikan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Siew Gek berkata, program peningkatan upaya juga dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Sumber Manusia sebagai inisiatif perkembangan dan latihan kakitangan.
Tambahnya, kakitangan Allianz Malaysia kemudian menambah lapan bulan lagi bagi membimbing dan berhubung dengan organisasi yang disesuaikan dengan bakat dan kemahiran mereka.
"Program tersebut diakhiri dengan sebuah sidang kemuncak maya pada bulan Julai di mana organisasi sosial dan pembimbing telah berkongsi perjalanan mereka dan penyelesaian inovatif yang dihasilkan untuk mencipta perubahan sistemik dalam komuniti yang mereka sokong,” katanya.