MELAKA - Nampaknya kedai menjual komputer riba terpakai menjadi tumpuan ibu bapa yang berpendapatan sederhana susulan pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Sebuah kedai menjual komputer riba terpakai di Taman Tasik Utama di sini, misalnya menjadi tumpuan pelanggan kerana menawarkan harga berpatutan bagi sebuah komputer riba terpakai hingga ada yang dijual serendah RM350 seunit.
Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Global We Shop (GWS) Abdul Hanif Abdul Rani, 26, berkata, permintaan komputer riba terpakai di kedai berkenaan meningkat sejak pelaksanaan PKP pertama dan kini terus meningkat susulan PKP2.0 yang dilaksanakan bermula pada 13 Januari lalu.
"Dalam tempoh PKP kali ini komputer riba terpakai mendapat permintaan tinggi. Kebanyakan mereka membelinya untuk kegunaan kerja di rumah dan pembelajaran (PdPR) anak-anak secara maya. Peralatan-peralatan lain seperti hard disk, pendrive juga habis dijual.
"Di kedai ini, kami ada memberikan khidmat nasihat secara percuma mengenai komputer riba yang sesuai untuk mereka gunakan dan juga ada perkhidmatan membaiki komputer riba. Majoriti 80 peratus pelanggan datang ke kedai ini untuk membaiki komputer riba dan sepanjang tahun lalu sahaja kira-kira 8,000 unit komputer riba telah dibaiki," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Sementara itu seorang pelanggan, Soleha Shukor,32 yang menetap di Pantai Puteri memberitahu, sukar untuk dia mencari kedai komputer yang menawarkan harga berpatutan lalu datang ke kedai itu.
Menurutnya, dengan gaji sebagai operator kilang sukar untuk dia membeli komputer riba yang mahal namun cukuplah sekadar komputer riba yang boleh berfungsi dan harganya yang munasabah untuk kegunaan dua orang anaknya masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun menyertai sesi pembelajaran dan pengajaran (P&P) dalam talian.
"Sudah merata saya mencari kedai komputer yang sesuai di Sungai Udang dan Masjid Tanah. Akhirnya saya datang ke kedai ini," katanya yang menggunakan wang simpanan untuk membeli komputer riba terpakai untuk anaknya.
Suri rumah Noradibah Mohd Shah, 35, pula berkata, dia juga membeli komputer riba terpakai bagi kemudahan dua orang anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal untuk mengikuti PdPR.
Menurutnya, dia dapat membeli komputer riba terpakai dengan harga RM500 itu selepas mengumpul wang berniaga menjual sarapan pagi di depan rumah.
"Diharap komputer riba ini dapat bertahan lama. Ini kali kedua saya beli komputer riba untuk kegunaan anak-anak.
"Nak beli yang baharu memang perlu fikir panjang. Jadi, saya dan suami ambil keputusan beli komputer riba terpakai asalkan anak-anak kami tidak ketinggalan dalam pelajaran," katanya.