POLIS Selangor mendedahkan sebanyak 17 kumpulan kongsi gelap kini di bawah pemantauan unit khas yang ditubuhkan di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri itu.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ahli dan ketua semua kumpulan itu kini dipantau berikutan beberapa kes jenayah di Lembah Klang yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan.
Menurut beliau, kumpulan itu disyaki terlibat dalam kes bunuh, samun, pemerasan dan merekrut ahli baharu.
"Laporan yang kerap diterima polis ialah mereka banyak terlibat dalam pergaduhan melibatkan kumpulan yang berpunca daripada perebutan kawasan dan merekrut ahli kumpulan lain.
"Perebutan kawasan lazimnya berlaku akibat aktiviti menjual dadah dan peras ugut (wang perlindungan) serta pelbagai kegiatan jenayah lain yang boleh mendatangkan wang dan pendapatan,” katanya dalam temubual khas bersama Sinar Harian di IPK Selangor baru-baru ini.
Arjunaidi berkata, daripada senarai 17 kumpulan kongsi gelap itu terdapat tiga geng Melayu iaitu Double 7 (77), ATAB dan Kucing Merah.
"Kumpulan kongsi gelap Cina pula ialah Geng 24, Geng 21, Geng 18, Geng 360, Gee Ho Sia (5 Colour), Ang Soon Thong manakala kumpulan kongsi gelap India pula terdiri daripada Geng 36, Geng 21, Geng 08, Geng 24, Geng 04, Geng 24 Apachee, Geng 18 dan Geng Satu,” kata beliau.
Katanya, untuk tempoh tahun lalu juga, seramai 285 ahli kumpulan telah ditangkap atas pelbagai kesalahan.
"Daripada jumlah itu, seramai 36 orang telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), 29 orang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan 248 dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Arjunadi berkata, sebut sahaja kumpulan kongsi gelap pasti wujud kebimbangan dengan perlakuan jahat dan kejam yang dilakukan mereka.
"Kegiatan jenayah kumpulan kongsi gelap nyata memberi impak besar dalam indeks jenayah negara.
"Tidak cukup dengan perlakuan jenayah berskala besar, geng ini turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat dengan ugutan dan pemerasan selain memiliki senjata tajam dan senjata api,” katanya.
Beliau berkata, isu berkaitan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long pula berkait rapat dengan sesetengah kumpulan ini di mana mereka mengambil upah mengutip hutang.
Jelasnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 75 kes dilaporkan melibatkan ah long.
"Semakan mendapati belum ada kumpulan kongsi gelap terlibat secara langsung tetapi ahlinya mungkin terlibat.
"Berkenaan aktiviti ah long, ada di antara mereka merupakan pemberi pinjaman wang berlesen tetapi cara mereka menjalankan kerja tidak betul. Ini menyukarkan kita mengawalnya kerana mereka mungkin berlindung di bawah lesen yang diperoleh.
"Kumpulan kongsi gelap ini melakukan pelbagai aktiviti dan dalam masa sama ahlinya melakukan kerja sedemikian secara individu,” katanya.
Selain itu, tambah Arjunaidi, ada sebahagian kumpulan kongsi gelap terlibat dengan sindiket perjudian dan pelacuran.
Katanya, kegiatan underground ini saling berhubung kait termasuk dadah, judi dan maksiat.
"Sindiket ini besar dan mereka yang terlibat tidak akan menonjolkan hierarki di peringkat atas tanpa menyentuh orang di bawah.
"Untuk kita capai di atas itu agak sukar dan kita perlukan maklumat orang ramai. Kita sedang berusaha dan menumpukan tindakan pada hierarki paling atas,” katanya.
Menurutnya, bagi kegiatan penyeludupan rokok atau pendatang asing tanpa izin (PATI), suatu ketika ia memang melibatkan kumpulan kongsi gelap tetapi kini hasil tangkapan yang dilakukan mendapati kebanyakan dijalankan oleh individu sama ada warga tempatan atau asing.
"Ada kes tangkapan PATI yang kita tahan baru-baru ini, suspek yang membawa masuk adalah warga asing itu sendiri yang sudah menetap di dalam negara,” katanya.
Tak pegang balai
Arjunaidi turut menolak dakwaan bahawa kumpulan kongsi gelap ‘memegang’ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu.
"Itu sudah seperti satu trend orang kita untuk menunjukkan kekuatan dan pengaruh mereka kononnya mereka pegang balai dan sebagainya. Sejauh mana benar dakwaan itu?” soalnya.
Jelasnya, siasatan polis juga mendapati tiada bukti kukuh dalam dakwaan terbabit.
"Misalnya ada yang menunjukkan mereka bergambar bersama pegawai polis kononnya, macam saya hadir ke majlis atau individu yang memperkenalkan diri sebagai ahli perniagaan datang ke pejabat saya, di majlis tertentu dan ada mahu bergambar, takkan kita kata tidak boleh bergambar,” katanya.
Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan kumpulan kongsi gelap itu berselindung di sebalik perniagaan atau aktiviti sah.
"Kita tetap akan mengambil tindakan undang-undang setiap pembabitan kumpulan kongsi gelap dengan bukti yang kukuh.
"Tindakan yang telah diambil ke atas geng itu juga ramai dan usaha kita untuk mengekang kegiatan kongsi gelap akan terus ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata, selain memastikan Selangor bersih daripada perlakuan jenayah, pihaknya turut menjalankan operasi dalam menangani kegiatan perjudian dan maksiat.
"Banyak serbuan, tangkapan kes perjudian dan maksiat sehingga mereka yang disyaki dituduh.
"Bagi tahun 2020, sebanyak 2,739 operasi perjudian dilaksanakan membabitkan 86.7 peratus atau 2,374 pertuduhan dilakukan. Dalam tempoh itu juga, sebanyak 726 serbuan melibatkan kes pelacuran dijalankan dan 579 kes dituduh termasuk 41 individu didakwa di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya.
Tegas Arjunaidi, ini bermakna pihaknya sentiasa mengambil tindakan tegas biar pun harus diakui sindiket sentiasa akan mengubah modus operandi bagi memastikan kegiatan mereka berjalan lancar tanpa mudah dikesan pihak polis.
Katanya, misalnya mereka yang terlibat dalam aktiviti pelacuran sentiasa mengubah taktik sama ada berselindung di sebalik hotel sederhana atau rumah persendirian atau dengan mencari pelanggan menerusi media sosial.
"Jenayah pemerasan turut berlaku hari ini yang mana terdapat beberapa aplikasi yang menarik golongan muda terutamanya,” kata beliau lagi.
Menurutnya, dalam aplikasi itu, suspek akan meminta mangsa melakukan perkara tidak senonoh sebelum merakam dan mengugutnya.
"Orang ramai diingatkan tidak terpengaruh hingga boleh jadi mangsa. Banyak laporan kita terima tahun lalu,” katanya.
Mengulas berkenaan sindiket perjudian pula, beliau mendedahkan, sindiket kini beroperasi secara dalam talian dan tiada pertaruhan secara tunai.
Tambahnya, sindiket akan mengupah individu yang mahir dalam teknologi komunikasi bagi membangunkan program untuk tujuan perjudian.
"Bagi kegiatan pusat panggilan (calling centre) pula, sindiket akan beroperasi di kediaman mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Fokus ‘port’ penagih
Selain usaha membanteras kegiatan judi dan pelacuran, Arjunadi berkata, Polis Selangor giat menjalankan operasi dan tangkapan kes dadah.
"Kita memberi tumpuan di port penagihan kerana ia menimbulkan ketidakselesaan masyarakat.
"Kita juga beri penekanan kepada penagih tegar yang berulang kali melakukan kesalahan,” katanya.
Tegasnya, untuk tahun ini pihaknya akan mengambil tindakan serius di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang menjadi penagih tegar.
"Bagi saya di peringkat setiap daerah kejayaan tangkapan sindiket merupakan satu hadiah tetapi paling penting tindakan di sarang penagih kerana menjadi lokasi berkumpul dan berjumpa pengedar.
"Selain itu, kita juga memberi penekanan untuk tindakan lebih di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) terhadap pengedar,” katanya.
Kejayaan berpasukan
Tambah Arjunaidi, Polis Selangor telah merekodkan banyak kejayaan tahun lalu termasuk tindakan ke atas kes pencemaran air di Sungai Selangor yang menjadi rungutan ramai.
"Selain itu, kita menyelesaikan kes culik dan bunuh di Sri Damansara, Petaling Jaya dengan tertangkapnya lapan lelaki termasuk seorang warga asing.
"Polis Selangor juga berjaya menahan seramai 25 orang ahli Geng 21 di Kuala Langat susulan kejadian kes tembak di daerah itu malah kegiatan kes samun bertopeng empat lelaki juga berjaya ditumpaskan selepas suspek ditembak mati pada Disember tahun lalu,” katanya.
Jelasnya, kejayaan kontinjen Selangor adalah berpasukan.
Arjunaidi berkata, beliau perlu mengenali kekuatan dalam pasukan pegawai dan anggotanya untuk penambahbaikan bagi memastikan kecemerlangan.
"Setiap kelemahan dan kekuatan perlu dikenal pasti. Dalam masa yang sama kita mengatur strategi bagi memenuhi kehendak masyarakat dan perubahan semasa,” katanya.