KOTA KINABALU - Bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui dalam keadaan anggota badan terpisah dan kulitnya dilapah di ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Imbak, Tongod pada Rabu.
Gajah yang sudah mereput itu dipercayai berusia antara lima hingga tujuh tahun ditemui dengan kesan cedera akibat tembakan dan tetakan kira-kira jam 8 pagi di kawasan terbabit.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Agustine Tuuga berkata, gajah itu dipercayai sudah mati sekurang-kurangnya empat atau lima hari sebelum ditemui.
"Sebahagian besar kulit gajah disiat dan beberapa anggota badannya seperti kaki dan telinga ditemui kira-kira enam hingga 32 meter dari badannya.
"Kepala dan gading turut ditemui kecuali belalai," katanya pada Jumaat.
Beliau dalam pada itu turut berkata, hasil bedah siasat, gajah itu terkena tujuh tembakan termasuk empat di kepala.
"Ini penemuan bangkai gajah ketiga pada tahun ini, namun ini kali pertama kulit haiwan berkenaan disiat.
"Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti motif utama pembunuhan haiwan ini namun tiada sebarang tangkapan dilakukan," katanya.