PUNB tawar penangguhan bayaran, diskaun sewa premis perniagaan

Iklan
Noh

KUALA LUMPUR - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mengumumkan pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal dan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus sewa premis perniagaan PUNB selama enam bulan berkuat kuasa 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021 yang melibatkan kutipan berjumlah RM112.5 juta.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan proaktif PUNB ini adalah untuk membantu usahawan kekal berdaya tahan dan berdaya saing ketika pandemik Covid-19 masih menular di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penangguhan pembayaran pembiayaan ini hanya terpakai ke atas prinsipal sahaja, manakala kadar keuntungan yang sudah ditetapkan perlu dibayar seperti biasa setiap bulan.

"Semua Rakan Usahawan PUNB yang telah mendapat penangguhan pembayaran pembiayaan bagi tempoh April hingga Disember 2020 secara automatik layak menerima inisiatif ini.

Iklan

"Pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal bagi Januari hingga Jun 2021 ini, dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 Rakan Usahawan PUNB melibatkan kutipan sebanyak RM110 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, sebanyak 226 penyewa premis perniagaan PUNB di seluruh negara, layak menerima diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari ini, melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM2.5 juta, kata beliau.

Iklan

"Saya berharap inisiatif yang diperkenalkan ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Rakan Usahawan PUNB dan penyewa premis perniagaan PUNB kerana ramai daripada mereka masih dalam proses untuk pulih dan kembali berdaya saing,” kata Noh.

Tahun lepas, PUNB mengumumkan pemberian inisiatif penangguhan pembayaran pembiayaan perniagaan bermula 1 April sehingga 31 Disember 2020 melibatkan kutipan sebanyak RM155 juta.

Selain itu, PUNB memberi pengecualian sewa bermula 1 April 2020 hingga 30 September 2020 untuk 220 premis perniagaan milik PUNB dengan anggaran kutipan sewa sebanyak RM5.3 juta.

Ini diikuti dengan pemberian diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020 melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM1.37 juta.

Sebarang pertanyaan mengenai penangguhan pembayaran pembiayaan, Rakan Usahawan boleh menghubungi Pegawai Pemantauan yang telah ditugaskan melalui telefon atau emel masing-masing.

Untuk pertanyaan am, Pegawai Khidmat Pelanggan boleh dihubungi di talian 1300 13 7862 atau talian am 03-2785 1515 atau emel ke customerservice@punb.com.my. - Bernama