KLANG - Berita pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat, 78, meninggal dunia yang tersebar sejak awal pagi Sabtu adalah palsu.
Perkara itu disahkan oleh anaknya, Fauzi Jamali, 48, yang memaklumkan bapanya yang berada di rumah dalam keadaan sihat.
Menurutnya, pihaknya kesal dengan penyebaran berita tersebut yang tidak diketahui dari mana sumbernya.
"Sejak pagi tadi saya terima banyak panggilan mengenai perkara itu, tak tahu dari mana datang berita itu, sabar jela. Berita tersebut palsu, tolong sebarkan ya. Dia sihat, Alhamdulillah... cuma kurang nak makan sangat," katanya pada Sabtu.
Terdahulu, tular di media sosial pagi ini memaklumkan pelawak itu telah kembali ke rahmatullah.
Pemilik akaun Facebook, Joh Johor memberikan maklum balas berhubung perkara itu dengan memaklumkan berita tersebut tidak benar.
"Atok masih sihat buat masa sekarang, belum meninggal dunia.
"Sama-sama kita doakan agar datuk tenang dan aman serta terus diberikan kekuatan. Amin," tulisnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan keadaan kesihatan Jamali atau nama sebenarnya Jamalai Shadat semakin pulih dan sudah mempunyai selera makan.
Doktor sebelum ini terpaksa menggunakan drip bagi memasukkan air ke dalam badannya selepas beliau tidak mahu makan.