KUANTAN - Aktiviti hiburan termasuk kelab malam, pub, taman tema, panggung wayang, konsert atau acara langsung dengan kehadiran penonton tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pahang.
Arahan itu turut terpakai bagi aktiviti seminar, bengkel, persidangan, pameran dan perhimpunan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beberapa aktiviti ekonomi termasuk bazar larut malam, car boot sale, kedai gunting rambut, salon kecantikan, spa refleksologi juga tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri Pahang menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) pada Jumaat turut menetapkan aktiviti kelas muzik, kelas tarian, kelas seni, kelas bahasa dan sebagainya juga tidak dibenarkan.
"Larangan juga dibuat bagi penganjuran majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta serta majlis sosial seperti kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi dan majlis sosial lain.
"Turut tidak dibenarkan semua aktiviti sukan dan rekreasi melibatkan sentuhan, membabitkan orang ramai orang dan sukar dikawal penjarakkan fizikal termasuk acara dan pertandingan sukan dengan kehadiran penonton dan pertandingan sukan yang melibatkan peserta luar negara,” katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.
Wan Rosdy berkata, bagi premis yang dibenarkan beroperasi perlu mengikut SOP yang ditetapkan dengan waktu operasi bermula jam 6 pagi sehingga 10 malam.
"Operasi pasar malam dibenarkan sepanjang tempoh PKP ini bermula jam 4 hingga 6 petang dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
"Pasar tani, pasar awam, pasar harian dan pasar borong medan selera, kedai runcit, kedai serbaneka dan operasi pusat membeli belah juga dibenarkan beroperasi mengikuti masa dan SOP yang telah ditetapkan.
"Waktu operasi stesen minyak hanya dibenarkan bermula jam 6 pagi sehingga 10 malam kecuali pengoperasian stesen minyak di lebuh raya yang dibenarkan beroperasi 24 jam (tertakluk pada syarat lesen perniagaan)," katanya.
Beliau berkata, aktiviti masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam dibenarkan dengan had kehadiran jemaah seperti yang ditetapkan.
"Upacara pernikahan (akad nikah) bagi orang Islam dibenarkan dengan kehadiran maksimum lapan orang dan hanya dibenarkan untuk dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dalam negeri Pahang sahaja,” katanya.
Wan Rosdy berkata, pusat asuhan kanak-kanak, taska, tabika dan tadika dibenarkan beroperasi dengan kebenaran kementerian dan agensi berkaitan.
Menurutnya, aktiviti riadah berjoging dan berbasikal dibenarkan namun secara individu bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.
"Bagi penghantaran bantuan bencana kemanusiaan dari luar negeri Pahang perlu mendapat kelulusan menerusi sistem ebanjir.gov.my dan kebenaran rentas negeri daripada polis.
"Pusat penghantaran barangan ialah di Bentong, Rompin serta Kuantan dan pengagihan akan dilaksanakan oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) negeri atau daerah sahaja,” katanya.
Katanya, pergerakan rentas daerah bagi badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan negeri Pahang bagi kerja-kerja gotong-royong pasca banjir hanya dibenarkan untuk daerah yang memerlukan sahaja.
"Jumlah sukarelawan dibenarkan seramai 10 hingga 15 orang sahaja bagi satu NGO atau agensi dan permohonan perlu dibuat melalui ebanjir.gov.my dan kebenaran rentas daerah daripada polis,” katanya.