'Hanya dua orang satu meja, boleh?'

Iklan
Penjual pasembur rojak, P Devi (kanan) dan suami, M Raja berharap kerajaan benarkan pelanggan untuk makan di kedai makan dengan mengehadkan dua orang untuk satu meja. - Foto Bernama

GEORGETOWN -"Jika kami dibenar meletakkan sebuah meja untuk dua orang pelanggan menjamu selera di sini, kami masih boleh bertahan untuk meraih rezeki,” itulah harapan kebanyakan penjaja makanan yang ditemui di Pusat Penjaja Persiaran Gurney di sini.

Mereka berharap sekiranya kebenaran diberi kepada pelanggan untuk makan di kedai makan (dine in) iaitu mengehadkan dua orang untuk satu meja, sudah pasti dapat meringankan beban mereka menghadapi gelombang kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

Penjual Rojak, Tan Swee Hoe, 59, memberitahu Bernama perniagaannya merosot semasa PKP kali ini dan kebanyakan yang datang untuk membeli makanan berbungkus di gerainya adalah pelanggan tetapnya atau penghantar makanan.

Beliau berkata, sekiranya kebenaran itu diberi, ia akan memudahkan kedua-dua pihak iaitu pelanggan dan peniaga.

Iklan

"Sekiranya pelanggan dibenarkan makan di sini, kami boleh menghidangkan makanan terus kepada mereka dan pembeli dapat menikmati makanan yang masih panas dan segar,” katanya.

Tan juga berkata, bulan lalu ketika Pulau Pinang berada dalam fasa pemulihan (PKPP), perniagaan jauh lebih baik kerana sasaran utama mereka adalah pelancong.

Iklan

"Sekarang ini kita kembali kepada PKP, apabila perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan dan makan di restoran dilarang, apa yang boleh kita lakukan sekarang hanyalah berdoa agar keadaan bertambah baik," katanya lagi.

Menurutnya, terdapat sekitar 111 gerai penjaja di Persiaran Gurney dan jika tiada PKP, sekurang-kurangnya 40 gerai akan dibuka pada hari Jumaat.

Pusat Penjaja Persiaran Gurney, Georgetown dengan sekitar 111 gerai kebanyakannya ditutup kerana pelaksanaan PKP 2.0. Tinjauan Bernama pada Jumaat mendapati hanya enam gerai yang beroperasi. - Foto Bernama

Bagaimanapun tinjauan Bernama di pusat penjaja di sini pada Jumaat mendapati hanya enam gerai beroperasi.

Sementara itu, pemilik gerai pasembur rojak, P Devi, 40, berharap wabak itu akan berakhir dan PKP akan ditamatkan tidak lama lagi, supaya perniagaan yang diusahakan bersama suaminya, M Raja, 45, dapat kembali beroperasi seperti biasa.

Katanya, pada bulan lalu, musim cuti persekolahan yang panjang, perniagaan mereka berjalan lancar dan mereka mampu meraih pendapatan antara RM800 dan RM1,000 pada hujung minggu.

"Sekarang, kami betul-betul sukar mendapat pelanggan termasuk daripada servis penghantaran makanan. Minggu lepas kami buka dari Jumaat hingga Ahad, kami tidak dapat jual satu makanan pun untuk tiga hari itu,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang 28 tahun berniaga pasembur rojak, mereka tidak pernah mengalami keadaan sedemikian.

Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan pelanggan makan di situ supaya perniagaan mereka dapat terus bertahan dalam menghadapi keadaan yang sukar ini.

"Bukan sahaja dapat memberi kemudahan untuk penjual dan pembeli dalam menyediakan perkhidmatan yang cepat, tetapi pelanggan juga boleh menikmati suasana di sini," tambahnya.

Pada 21 Januari, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kedai makan dan restoran dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam, berkuat kuasa Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi kedai makan dibenar sehingga jam 10 malam

Pemilik gerai Muar Chee, yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Miss Lai’ berkata, ia adalah langkah positif bagi penjaja apabila kerajaan Persekutuan membenarkan melanjutkan waktu operasi dari jam 8 malam hingga 10 malam.

Peniaga berusia 51 tahun itu berkata, lanjutan waktu operasi itu dapat memberi pelanggan lebih banyak masa untuk membuat pesanan makan malam mereka.

"Ketika kami terpaksa menutup gerai seawal 7.30 malam, kebanyakan orang baru hendak pulang ke rumah dan tidak mempunyai masa untuk memesan makanan untuk makan malam, jadi apabila operasi ini dilanjutkan ia memberi kelegaan kepada penjaja dan pelanggan," katanya lagi. - Bernama