SABAK BERNAM - Aliran trafik berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bedena dijadualkan mengalami gangguan sementara bermula pada Isnin hingga 10 Februari depan berikutan kerja-kerja mengangkut rasuk jambatan dan pembinaan jejambat di Pekan Sungai Besar.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, aliran lalu lintas Jalan Persekutuan 5 (FR5) dari arah Klang dan Teluk Intan akan dilencongkan secara berperingkat bagi memberi laluan kerja mengangkat rasuk jambatan di kawasan pembinaan tersebut.
Menurut kenyataan itu, aliran trafik dari arah Sabak Bernam ke Tanjong Karang akan dilencongkan ke Jalan Lama Bagan Terap melalui Jalan Pegawai serta Jalan Lembaga Padi Negara seterusnya masuk semula ke laluan FR5.
"Aliran ini akan diaktifkan selama dua hari dari 26 Januari hingga 28 Januari dari jam 8 pagi hingga 8 malam," katanya.
Katanya, aliran trafik bagi kenderaan berat dari arah Tanjong Karang menghala ke Sabak Bernam akan dilencongkan ke Jalan Haji Abu Samah melalui Jalan Panchang Bedena.
"Bagaimanapun, kenderaan ringan masih boleh menggunakan Jalan FR5 untuk ke stesen minyak dan klinik kesihatan seterusnya trafik akan dilencongkan ke Jalan Tonggak 10.
"Aliran ini akan diaktifkan dari jam 8 pagi, 29 Januari hingga jam 8 malam pada 10 Februari," katanya.
Sehubungan itu, pihak JKR memohon maaf atas segala kesulitan dihadapi pengguna jalan raya sepanjang tempoh perlaksanaan kerja-kerja tersebut.
"Kami berharap semua pengguna jalan raya mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan disediakan," katanya.