PKP: Masa depan tukang gunting rambut makin kabur

Iklan

KUALA LUMPUR - Pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, perkhidmatan guntingan, dandanan rambut dan pusat kecantikan adalah antara sektor terakhir diberikan kebenaran beroperasi.

Alasannya, ia sukar mematuhi arahan penjarakkan fizikal ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana melibatkan sentuhan fizikal dan dikhuatiri meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Iklan
Iklan

Ironinya, selepas dibenarkan beroperasi bermula 10 Jun tahun lepas sewaktu fasa PKP Pemulihan, sektor berkenaan yang menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah RM13.5 bilion setahun tidak pernah pun ‘melakar’ kluster baharu Covid-19.

Tidak dinafikan sememangnya wujud kes positif, namun itu pun hanya melibatkan tukang gunting rambut warga asing yang didapati memberikan perkhidmatan secara tidak sah dari rumah ke rumah sebelum kebenaran rasmi diberikan.

Iklan

Tatkala baru bertatih semula selepas terjejas teruk akibat dipaksa ‘berhibenarsi’, sejarah kembali berulang kepada kira-kira 74,500 tenaga kerja dari 16,728 perniagaan berdaftar di bawah sektor berkenaan yang terpaksa sekali lagi menutup pintu perniagaan mereka pada pelaksanaan PKP 2.0 kali ini.

Wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia, Bambang Sutrisno Soteto ketika dihubungi Bernama berkata, sejak PKP dilaksanakan Mac tahun lepas sehingga kini kira-kira 5,800 salon dan pusat dandanan rambut terpaksa gulung tikar.

Iklan

Bimbang semakin ramai terpaksa gulung tikar kali ini, beliau berkata, pihaknya sudah menghantar surat rayuan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memohon kebenaran beroperasi.

"Sebelum ini kami telah membuktikan kami mampu mematuhi SOP ditetapkan dan tidak pernah lagi wujud kluster gunting rambut, kami yakin kali ini kami juga mampu mematuhi SOP berkenaan,” katanya.

Antara SOP yang ditetapkan kerajaan bagi sektor ini termasuk pemakaian pelindung muka, apron pakai buang dan satu set sarung tangan bagi setiap pelanggan serta menjaga jarak antara pelanggan sekurang-kurangnya dua meter, selain memastikan bilangan pelanggan mengikut keluasan premis.

Sementara itu, Presiden Persatuan Spa Malaysia (Amspa) Datin Jeanette Tembakau cukup khuatir industri spa juga bakal ‘nazak’ sekiranya terus tidak mendapat kebenaran untuk beroperasi.

Sehingga kini beliau anggarkan terdapat kira-kira 60 spa yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu menanggung bebanan kos.

"Kami sangatlah menitikberatkan kebersihan dan pematuhan SOP sewaktu bekerja. Malah dalam satu bilik pun biasanya paling ramai dua pelanggan sahaja dan katil juga memang diletakkan berjauhan. Kami turut mewajibkan latihan berhubung SOP kepada spa terapi kami secara dalam talian,” katanya.

Beliau juga menyatakan industri spa sebenarnya boleh diumpamakan sebahagian daripada perkhidmatan perlu memandangkan fungsinya berkaitan dengan kesihatan terutamanya terapi yang sangat berkesan untuk mengurangkan tekanan.

"Sekarang memang banyak orang menghadapi tekanan terutamanya apabila ‘terperangkap’ disuruh duduk di rumah, bekerja di rumah. Kurang pergerakan menyebabkan tubuh badan letih dan tidak bermaya,” katanya menambah bahawa ketika ini terdapat lebih kurang 400 ahli berdaftar di bawah Amspa.

Seorang pengusaha spa selama lima tahun Shalwiza Rahmat, 36, berkata, sepertimana perniagaan lain, mereka juga perlu ‘survive’, perlu ada aliran tunai untuk menanggung gaji pekerja dan sewa premis.

"Tidak bermakna kami perlu dipinggirkan sebegini. Cukuplah tahun lepas diarah tutup selama tiga bulan. Masih belum pulih. Bagaikan jatuh ditimpa tangga,” kata pemilik Derma Medispa yang beroperasi di Johor. - Bernama