MB Kedah perlu lebih prihatin, proaktif bantu rakyat terjejas: AMK

Iklan
Muhammad Sanusi dan Mohammed Firdaus

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah perlu mengambil langkah lebih proaktif dan prihatin rakyat dengan meluluskan peruntukan khas Pakej Bantuan Rakyat Kedah Covid-19 bagi membantu kumpulan sasaran yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammed Firdaus Johari berkata, sehingga kini masih belum ada pengumuman mahupun inisiatif yang digerakkan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor untuk membantu rakyat dalam tempoh 14 hari PKP bermula Jumaat sehingga 4 Februari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pakej bantuan seumpama itu penting bagi melancarkan aliran tunai serta mengurangkan impak serta kos operasi yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang terkesan dalam tempoh pelaksanaan PKP tersebut.

"AMK Kedah ternanti-nanti sebarang pengumuman Pakej Bantuan Rakyat Kedah menghadapi Covid-19 daripada Menteri Besar Kedah. Tetapi malangnya sehingga hari ini (Jumaat) tiada sebarang pengumuman bantuan tempoh pelaksanaan PKP 2.0 ini.

Iklan

"Lebih menyedihkan, Menteri Besar Kedah lebih tertumpu kepada pembatalan cuti Peristiwa Perayaan Thaipusam berbanding isu ini yang sepatutnya diberi keutamaan,"katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohammed Firdaus berkata, AMK Kedah mencadangkan kepada Muhammad Sanusi dan kerajaan Kedah agar mengenal pasti kumpulan sasaran yang memerlukan pengagihan dan bantuan dari pakej bantuan tersebut.

Iklan

"Kumpulan sasaran ini haruslah merangkumi peniaga, penggerai dan penjaja berlesen, peniaga pasar, pengusaha kantin sekolah, penoreh getah, pesawah dan petani serta nelayan.

"Golongan B40 dan M40 yang berkelayakan untuk menerima bantuan bakul makanan juga perlu dibantu termasuk pelajar sekolah yang tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian dan data internet,"katanya.

Tambah Mohammed Firdaus, waris keluarga atau kontak rapat pesakit Covid-19 yang terpaksa dikuarantin di rumah dan tidak dibenarkan keluar untuk membeli barangan dapur atau makanan juga perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

Pada 19 Januari lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis, selama 14 hari bermula Jumaat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia hasil nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung trend peningkatan kes positif Covid-19.