Sultan Selangor, Tengku Permaisuri titah rakyat lindungi haiwan terbiar

Iklan
Sultan Sharafuddin sering meluangkan masa bersama kucing terbiar yang kini diambil untuk dipelihara di kawasan kediaman baginda. Gambar kecil: Jocopo antara kucing yang diselamatkan oleh Tengku Permaisuri Norashikin. - Foto FB Selangor Royal Office

SHAH ALAM - Haiwan terbiar khususnya kucing dan anjing perlu dilindungi serta diberi makan bukannya diperlakukan secara kejam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita apabila masih ada individu dan pihak tertentu yang sengaja berlaku kejam terhadap haiwan-haiwan berkenaan.

Iklan
Iklan

Baginda turut terkilan apabila masih ada pihak yang tidak tahu kaedah terbaik untuk melindungi haiwan tersebut, khususnya ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, baginda bertitah, sifat belas kasihan perlu ada dalam diri semua individu untuk sama-sama bertanggungjawab memberikan perlindungan kepada haiwan terbiar sama ada ketika dalam peliharaan atau ketika haiwan berkenaan berada dalam habitat sendiri.

Iklan

"Baginda berdua sendiri kini memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah dikasi (neuter) dan diberi perlindungan secukupnya. Ini termasuk Snowy, seekor kucing terbiar yang pada mulanya datang kepada baginda empat tahun lalu untuk mencari makanan, namun diambil sebagai haiwan angkat di atas inisiatif baginda sendiri.

Kucing terbiar Snowy menjadi peneman setia Sultan Sharafuddin. - Foto FB Selangor Royal Office

"Snowy kini adalah kucing peliharaan kesayangan Sultan Sharafuddin dan menjadi peneman setia baginda. Seperti kucing terbiar lain yang diambil untuk dipelihara, Snowy dihantar ke doktor veterinar untuk dikasi dan dibersihkan," menurut kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office pada Sabtu.

Iklan

Menurut Istana Alam Shah, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja kepada program Stray Free Selangor (SFS) kendalian Society For The Prevention of Cruelty Animals (SPCA Selangor) telah menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar.

"Hampir 30 ekor daripadanya dipelihara sendiri oleh baginda, manakala selebihnya diberi sebagai haiwan angkat.

"Menurut baginda, dengan kaedah mengambil sebagai haiwan angkat, haiwan terbiar ini boleh menjadi haiwan peliharaan yang bersih dan menyenangkan jika diberikan rawatan dan penjagaan yang rapi," katanya.

Snowy juga antara kucing peliharaan kesayangan Tengku Permaisuri Norashikin. - Foto FB Selangor Royal Office

Untuk rekod, sejak Mac 2017 sehingga Disember 2020, sejumlah 7,117 ekor kucing dan anjing terbiar telah dikasi di bawah program SFS yang diselia oleh SPCA Selangor.

Dalam kenyataan sama, Sultan Sharafuddin juga menitahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih proaktif dan bijak menangani isu haiwan terbiar ini secara holistik bukan memberi gambaran buruk yang akhirnya akan menyebabkan haiwan-haiwan itu dikurung atau dibunuh.

"Baginda mahu PBT menjadikan negara Turki sebagai model, bagaimana pihak berkuasa negara itu mengendalikan haiwan-haiwan terbiar yang tidak berdosa ini daripada dizalimi.

"Baginda berdua amat berharap rakyat dan seluruh komuniti di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, terus menyemai sifat belas kasihan dan sayangkan haiwan-haiwan terbiar ini serta mengambil berat tentang hak dan kebajikan haiwan seumpamanya," katanya.

Dalam kenyataan itu, baginda berdua turut berkenan mengingatkan rakyat jelata agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKP.

Antara kucing terbiar yang telah diselamatkan. - Foto FB Selangor Royal Office