GOMBAK - Dua lelaki bertindak nekad menyamun seorang pemandu wanita dengan memecahkan cermin kereta mangsa ketika menunggu giliran melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, tindakan penjenayah itu tidak berhasil apabila kedua-duanya berjaya ditangkap orang ramai yang berada di situ.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian kira-kira 10.10 pagi itu, pemandu wanita berusia 32 tahun dari arah Bentong hendak melalui sekatan jalan berkenaan.
"Kedua-dua suspek menaiki sebuah motosikal. Salah seorang daripada mereka bertindak memecahkan cermin kereta sebelah penumpang bahagian hadapan.
"Penjenayah itu kemudian mengambil beg tangan mangsa dan terus melarikan diri. Pemandu sebuah lori bersebelahan kereta mangsa yang nampak kejadian itu bertindak membunyikan hon, disusuli beberapa pemandu kenderaan lain turut membunyikan hon,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, ketika cuba melarikan diri, motosikal dinaiki penjenayah itu terjatuh akibat terlanggar pintu sebuah lori.
"Pemandu lori itu bertindak bertindak membuka pintu untuk menghalang suspek daripada melarikan diri.
"Pemandu lori bersama beberapa orang awam kemudian membantu menangkap suspek sebelum diserahkan kepada anggota polis bertugas di sekatan jalan itu,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati motosikal jenis SYM yang digunakan penjenayah itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan sebelum ini dilaporkan hilang di Taman Melawati di sini.
"Pemeriksaan ke atas dua beg bimbit suspek telah menjumpai dua kad pengenalan milik orang lain.
"Semakan mendapati terdapat laporan polis berkaitan dua suspek berkenaan di kawasan Sentul dan Brickfields pada 22 Januari lalu, masing-masing pada jam 7.50 pagi dan 8.15 pagi berhubung kejadian di persimpangan lampu isyarat dengan menggunakan modus operandi yang sama iaitu memecahkan cermin kereta," katanya.
Dengan tertangkapnya kedua-dua lelaki berkenaan, katanya, polis berjaya menyelesaikan empat kes jenayah yang berlaku di daerah Gombak dan di Kuala Lumpur.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Kedua-dua suspek direman lima hari untuk siasatan lanjut,” katanya.