BATU PAHAT - Seorang maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Kilometer 85 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini pada malam Jumaat.
Dalam kejadian pada jam 8.46 malam, lori Scania tujuh tan dipandu L Krishnan, 66, bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu Muhamad Naim Muhamad Hata, 29.
Kemalangan itu mengakibatkan lori berkenaan terbalik di bahu jalan dan Krishnan tersepit di tempat duduk pemandu, manakala kereta tersebut remuk bahagian depan dengan pemandunya cedera.
Orang awam yang melihat kejadian tersebut kemudian menghubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor untuk bantuan.
Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng dibantu BBP Ayer Hitam dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurut Komander Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Khairul Nizam Aresat, mereka dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Team (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Pemandu Perodua Myvi cedera dan dihantar ke hospital berdekatan dengan menggunakan jentera EMRS. PKO bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori dengan menggunakan peralatan khas.
"Pihak bomba turut dibantu sebuah kren orang awam. Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 10.55 malam.