KUALA TERENGGANU - Polis kesal dengan segelintir peniaga kedai makan di negeri ini yang dilihat masih mengambil ringan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani Covid-19 apabila hanya meletakkan buku catatan pelanggan serta alat pengimbas suhu di atas meja tanpa pemantauan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, peniaga sepatutnya meletakkan seorang pekerja yang bertanggungjawab mencatatkan rekod pelanggan yang masuk ke premis mereka.
Iklan
Iklan
"Tindakan sambil lewa segelintir peniaga ini dilihat sebagai tidak memikirkan keselamatan pelanggan mereka. Apabila mereka meletakkan buku rekod di atas meja tanpa pemantauan, tidak mustahil ada pelanggan mengambil kesempatan masuk tanpa merekodkan nama dalam buku disediakan.
"Bukan itu sahaja, ada juga peniaga didapati menyediakan alat pengimbas suhu tanpa bateri, malah ada yang rosak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Januari lalu sehingga Rabu lalu, sejumlah 161 kompaun dikeluarkan di seluruh negeri ini atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan-kesalahan) (Pindaan) (N010) 2020.
"Daripada jumlah kompaun itu, hampir 60 peratus kesalahan dikesan di premis perniagaan termasuk kesalahan membabitkan buku daftar nama, suhu dan 'hand sanitizer'.
"Ia diikuti kesalahan langgar perintah kawalan, pemakaian pelitup muka dan penjarakkan fizikal," katanya.