SHAH ALAM - UMNO mencadangkan kerajaan sekali lagi mewujudkan skim khas pengampunan kepada pekerja asing tanpa izin (PATI) bagi memastikan usaha memerangi pandemik Covid-19 dapat dilaksanakan dengan berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata, ia kerana semenjak bermula penularan Covid-19, satu sudut yang samar dalam strategi memerangi pandemik itu adalah berkaitan PATI.
Menurutnya, pelbagai laporan dan analisis membayangkan bahawa jika golongan itu tidak diberi perhatian, maka pendekatan memerangi wabak berkenaan tidak lengkap.
Katanya, selagi pendekatan itu tidak lengkap, kesan rantaian kepada krisis ekonomi dan kesihatan kepada negara serta rakyat Malaysia tidak akan dapat ditangani sepenuhnya.
"Suatu kaedah untuk dipertimbang kerajaan yang kini mempunyai kuasa luas di bawah keadaan darurat adalah mampukah kita wujudkan suatu skim khas untuk tempoh terhad dan singkat demi matlamat utama negara (membendung penularan Covid-19) di samping berlaku adil kepada semua pihak?
"Yakni, kita wujudkan tempoh pengampunan atau 'amnesty' untuk semua PATI tampil ke hadapan dengan bersyarat," katanya dalam satu kenyataan yang turut dimuat naik di Facebook beliau pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Shahril Sufian berkata, syarat yang disyorkan ialah majikan yang kini menggajikan mereka secara tidak sah perlu membayar kos permit sekitar RM2,800 setiap seorang di mana permit tersebut perlu terikat dengan tempat kerja mereka bukan permit bebas.
Kata beliau, kerajaan perlu memastikan tiada ejen atau orang tengah bagi mengurangkan risiko pihak yang mampu menindas pihak PATI (contoh ambil duit dan pasport kemudian hilang) atau mengaut untung dari kerajaan.
"Sebagai 'penalti' kerana berada dalam negara kita tanpa izin, mereka atau majikan perlu membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setiap tahun bersamaan RM100 sebulan. Bayaran ini boleh dikenakan setiap bulan melalui Potongan Cukai Bulanan (PCB) khas atau setiap kali ada pembaharuan permit.
"Selepas tamat tempoh 'pengampunan' contohnya selama tiga bulan, operasi besar-besaran berserta tindakan tegas wajar diambil terutamanya kepada majikan yang masih degil," katanya.
Shahril Sufian berkata, dengan skim itu, diharap beberapa matlamat tercapai sekali gus dapat memastikan PATI yang telah berubah status boleh mendapat ujian saringan Covid-19 dan rawatan seperti rakyat dan pekerja asing sah yang lain kerana melibatkan soal kemaslahatan masyarakat dan perikemanusiaan.
"Majikan yang selama ini mendakwa mahu mendaftarkan PATI sebagai pekerja sah tetapi tiada cara, sekarang ada cara dan tiada alasan.
"Walaupun bukan matlamat utama, tetapi langkah ini mampu menjana pendapatan kerajaan sebanyak RM12 bilion secara 'one off' untuk tahun pertama dan lebih RM3 bilion untuk tahun-tahun selepasnya," katanya.
Menurutnya, inisiatif itu juga akan meningkatkan keterlihatan pekerja asing di Malaysia di mana (secara teori) sistem akan mampu mengesan dan memantau data lebih ramai pekerja yang selama ini 'invisible' dari segi lokasi mereka bekerja, tempat tinggal, majikan dan sebagainya.
Beliau berkata, selagi ramai individu 'di luar' sistem dan tidak direkod, selagi itulah pelbagai masalah timbul bukan sahaja dari segi risiko jenayah, tetapi juga bermacam penindasan terhadap PATI di negara ini yang dianggarkan berjumlah tiga juta orang.
Katanya, November lalu, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan skim yang serupa tetapi terhad kepada sektor tertentu dan kurang jelas butiran pelaksanaannya.
Justeru, beliau berharap agar cadangan tersebut dipertimbang dan diperhalusi kerajaan sebagai satu lagi langkah ke arah mencapai objektif besar negara iaitu untuk menyelesaikan segala cabaran akibat pandemik Covid-19.