Kembara Anti Dadah di Teluk Cempedak

Iklan
Zulkifli (tiga kiri) diiringi Wan Ariff (dua kiri) merasmikan simbolik papan tanda perangi dadah di Teluk Cempedak, hari ini.
KUANTAN - Sempena Bulan Antidadah Kebangsaan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merancang pelbagai pengisian program sepanjang Februari ini untuk meningkatkan kesedaran dalam komuniti berhubung penyalahgunaan dadah.

Ketua Pengarah AADK Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, salah satu program yang dirancang adalah Kembara Perdana Antidadah Zon Pantai Timur.

Program ini disertai 50 ahli bikers dari pelbagai agensi dan NGO yang memulakan perjalanan kembara dari ibu pejabat AADK di Kajang, Selangor dan berakhir di Kuantan, Pahang.

Iklan
Iklan

"Peserta kembara telah singgah ke beberapa lokasi dan berinteraksi dengan komuniti setempat bersama NGO dan jabatan lain.

"Mereka membuat sesuatu yang positif dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat setempat agar memerangi dan menjauhi dadah," katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,000 pengunjung Teluk Cempedak di sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, lazimnya hanya keluarga yang mengalami masalah ini akan memberi perhatian.

"Inilah pentingnya acara yang dirancang agar mendapat penglibatan semua komuniti.

Iklan

"Satu masa nanti kalau kita tidak peduli, dikhuatiri ahli keluarga kita akan terjebak dadah, waktu itu sudah terlewat," katanya lagi.

Kembara beliau tiba di lokasi kira-kira jam 5.40 petang disambut tarian singa sempena Tahun Baharu Cina 2019.

Hadir sama, Pengerusi Skuad AADK Pahang, Datuk Mohd Yusri Mat Nor dan Pengarah AADK Pahang, Rujhan Ramli.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Skuad AADK Pahang dan ahli skuad yang menunjukkan keprihatinan yang tinggi di atas sumbangan papan tanda Perangi Dadah Habis Habisan di Teluk Cempedak.

"Saya harap tema 'Komuniti Kita Tanggunghawab Kita' dapat memberi semangat kepada semua pihak.

"Tangani bersama-sama, kerjasama hari ini akan diambil contoh kepada agensi agensi dan NGO NGO lain," ujarnya.

Beliau turut menyeru seluruh warga Kuantan berganding bahu dengan agensi kerajaan bagi memastikan gejala dadah dapat dibendung.

"Jadikan komuniti kita selamat daripada dadah dan menjadi masyarakat berdaya saing," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Skuad AADK Pahang, Wan Ariff Ismail berkata, menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat untuk menggerakkan pelbagai program pencegahan dadah di semua peringkat termasuk sekolah.

Hal ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembasmian gejala penyalahgunaan dadah.

"Melalui pendekatan kolaboratif skuad dan pelbagai agensi termasuk kerajaan akan dapat memberikan makna dan manfaat kepada semua.

"Kita mahu skuad dan ahli ada rasa tanggungjawab dan prihatin permasalahan di tempat kita," katanya.

Katanya, suad AADK Pahang berbesar hati dapat menyumbangkan papan tanda perangi dadah habis habisan agar dapat jadi peringatan kepada pengunjung Teluk Cempedak untuk memerangi dadah.

Kembara kemudiannya bergerak ke Hotel Zenith kira kira jam 6.40 petang untuk menghadiri Malam Apresiasi AADK Negeri Pahang bersama rakan pintar dan strategik agensi itu.