Bekas kakitangan Utusan Malaysia sakit jantung, isteri pula kanser payu dara

Iklan
Wakil Jejak Asnaf MAINJ, Nasir Ishak (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Sayeed Haron ketika mengadakan lawatan ke rumahnya di PPR Melana, Tampoi, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - 'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul', itulah gambaran kesusahan hidup seorang bekas kakitangan Utusan Malaysia yang kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana, Tampoi di sini yang terpaksa menanggung keluarganya sedangkan dia sudah hilang punca pendapatan akibat penyakit.

Mohd Sayeed Haron, 56, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori telah berhenti kerja itu pada September lalu atas faktor kesihatan dan ketika ini dia bergantung kepada wang simpanan peribadi serta caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) manakala isterinya suri rumah sepenuh masa.

Iklan
Iklan

Bekas kakitangan Utusan Malaysia itu menghidap sakit jantung dan darah tinggi manakala isterinya, Rahimah Sabtu, 46, disahkan menghidap kanser payu dara tahap tiga sejak November lalu.

Pasangan itu merancang memulakan perniagaan menjahit pakaian dan menjual makanan sebagai sumber pendapatan bagi membesarkan tujuh anak tetapi terpaksa melupakan hasrat tersebut ketika ini apabila mereka diuji dengan masalah kesihatan.

Iklan

"Kalau ikutkan sekarang ini perniagaan kami sudah mula beroperasi kerana kelengkapan dan peralatan mesin jahit, tempat menjahit dan lain-lain sudah disediakan. Namun kita hanya mampu merancang, ALLAH yang tentukan," katanya ketika ditemui di PPR itu pada Jumaat.

Mohd Sayeed yang sudah tiga bulan tidak bekerja mengakui kian resah kerana memerlukan RM1,200 sebulan untuk menampung perbelanjaan anak-anak berusia antara setahun hingga 18 tahun selain melunaskan bil utiliti serta komitmen lain.

Iklan

"Saya terpaksa berhenti kerja bila tidak lagi boleh buat kerja berat. Pernah sekali saya hampir pitam ketika sedang memandu lori. Oleh sebab itu, saya buat keputusan berhenti kerja. Selepas berhenti kerja, kami bercadang mengambil upah menjahit pakaian dan menjual sarapan sebagai mata pencarian. Namun, dugaan berganda apabila isteri disahkan menghidap kanser payu dara dan menjalani pembedahan pada November lalu.

"Pada masa sama, jantung bengkak saya pula menjadi-jadi sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital. Pernah juga kami masuk wad serentak dan terpaksa minta tolong adik ipar menjaga anak-anak di rumah," katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan melainkan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) baru-baru ini.

Dia dalam proses memohon bantuan pembiayaan hospital dan perubatan di bawah skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (MySalam) untuk isterinya yang perlu menjalani rawatan kimoterapi pada Mac ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd Sayeed menerusi talian 010-7983536 atau terus menghulurkan sumbangan ke dalam akaun Public Bank miliknya bernombor 6813222015.