SHAH ALAM - Tiga tokoh terkenal dalam industri media bakal bergabung dalam sebuah program bertajuk 'Corruption: A Deadly Virus' yang akan disiarkan secara langsung menerusi beberapa platform media sosial @realchunwai pada 29 Januari ini.
Program santai itu yang akan dihoskan Penasihat Kumpulan Star Media Group Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai akan membincangkan topik berkaitan salah laku rasuah bersama dua panelis iaitu Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar.
Iklan
Iklan
Program dengan kerjasama Asia News Network (ANN) itu akan bersiaran pada jam 8.30 malam dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Terdahulu, Hussamuddin pada 16 Januari lalu melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa bagi membanteras rasuah dan ia berjaya mendapat respons positif daripada pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tidak bertujuan untuk mengambil alih tugas mana-mana pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya gerakan massa oleh Sinar Harian dengan mewujudkan Sinar Rasuah Busters itu sebenarnya sebagai pembuka laluan bagi mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.
Idea gerakan memulihkan moral bangsa tercetus dengan melihat kereputan sistem nilai, integriti dan 'bad governance' dalam negara ketika ini.
Beberapa pemimpin politik daripada parti berbeza turut menyatakan sokongan terhadap usaha memerangi rasuah.