Lelaki terjun sungai elak ditahan polis ditemukan lemas

Iklan
Pihak bomba mengangkat mayat seorang lelaki selepas ditemukan dalam Sungai Sembrong Kecil di Batu 5, Jalan Mersing, Kluang pada Sabtu.

KLUANG - Seorang lelaki yang bertindak terjun ke dalam Sungai Sembrong Kecil, Batu 5, Jalan Mersing di sini pada Jumaat semasa dikejar polis dalam operasi banteras dadah ditemukan lemas petang tadi.

Mayat lelaki berusia 33 tahun itu ditemui jam 5.13 petang oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang yang melakukan operasi mencari dan menyalamat (SAR) bermula jam 8.30 pagi Sabtu.

Iklan
Iklan

Komander Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Jusoh Mohd Salleh berkata, operasi SAR dengan menggunakan teknik 'surface searching' di lokasi sepanjang tiga kilometer radius membuahkan hasil.

"Mayat lelaki tersebut dijumpai pihak bomba pada jarak kira-kira 150 meter dari tempat mangsa terjun. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat jam 5.40 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Dalam kejadian jam 4.50 petang Jumaat lalu, lelaki berkenaan yang sedang khayal dipercayai bawah pengaruh dadah terjun ke dalam sungai tersebut ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis.

Jusoh berkata, operasi SAR tersebut melibatkan sembilan anggota dari BBP Kluang dan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Nekad terjun sungai elak dicekup polis