AKSB rancang tukar 4,000km paip lama, atasi gangguan air

Iklan
AKSB rancang tukar 4,000 kilometer paip lama bagi menyelesaikan gangguan bekalan air di Kelantan.

KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam perancangan menukar 4,000 kilometer (km) paip lama di negeri berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030, kata pengurus besarnya, Datuk Dr Azuhan Mohamed.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan pusat dan negeri dalam menyelesaikan masalah gangguan bekalan air, kualiti air serta tekanan air perlahan yang dihadapi rakyat Kelantan sejak puluhan tahun.

Iklan
Iklan

Menurut beliau perancangan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM1.7 bilion dan pihaknya sedang cuba mendapatkan peruntukan berkenaan melalui geran daripada kerajaan pusat.

"Aset air kita sudah berusia, sudah lama dan sampai tempohnya perlu diganti baharu... paip lama ini berusia 35 hingga 40 tahun dan paip zaman dahulu ini tidak tahan.

Iklan

"Secara keseluruhannya, paip air di Kelantan ada sepanjang lebih 8,000 km dan kira-kira 4,000 km adalah paip lama yang perlu ditukar kerana mudah bocor," katanya dalam program 'Kechek Khiro' yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook rasmi TV Klate pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Azuhan berkata gangguan bekalan air di negeri itu juga berlaku disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) yang terhad, yang mengehadkan bekalan air selain turut menjejaskan kualiti sumber air sehingga pengguna menerima air yang berkarat.

Iklan

Justeru, beliau berkata bagi mengurangkan masalah berkenaan, dua LRA utama, masing-masing di Tualang Dua, Kuala Krai dan Kampung Teluk, Bachok dijangka siap serta beroperasi pada April atau Mei tahun ini.

"Satu loji di Tualang Dua dengan 20 juta liter sehari dan satu lagi loji di Kampung Teluk dengan 30 juta liter sehari. Apabila loji di Kampung Teluk ini siap, ia akan dapat bantu LRA Chicha, Kota Bharu. Jadi ia akan membantu penyaluran bekalan air ke Kota Bharu dan Bachok," tambahnya.

Dalam masa sama, Azuhan berkata sebanyak lima loji mini juga akan dibina melibatkan peruntukan RM30 juta daripada kerajaan negeri dan dua daripadanya iaitu di Ketereh dan Teluk Besira, Kota Bharu dijangka siap tahun ini. - Bernama