BEAUFORT - Tiada capaian internet di rumah, kampung pula dilanda banjir menyebabkan tiga beradik di Kampung Labi di sini terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di atas sampan.
Gambar Mazlieyana Razieyla Mat Lajim, 12, bersama adiknya Muhd Rahiemiey, 10, berada di atas sampan dengan berlatar belakangkan keadaan banjir dikongsikan sendiri oleh ibu mereka, Suzianah Bidin, 32, melalui akaun Facebooknya pada Jumaat.
Menurut Suzianah, gambar itu dirakam pada Jumaat ketika tiga anaknya sedang mengikuti PdPR berikutan rumah mereka tiada rangkaian internet.
"Malah ketika ini kampung kami masih dilanda banjir sejak beberapa hari lalu dan air masih belum surut memandangkan rumah kami terletak berhampiran dengan Sungai Padas.
"Jadi saya terpaksa membawa mereka keluar dengan menaiki sampan dan saya mendayung sampan sementara mereka belajar secara PdPR di kawasan yang ada rangkaian internet,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dua anaknya itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gadong manakala seorang lagi anaknya, Muhd Ruzairiey, 14, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong.
Suzianah berkata, walaupun serba kekurangan ditambah dengan keadaan banjir, namun anak-anaknya masih bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan sejak Rabu lalu.
"Walaupun banjir dan terpaksa keluar dari rumah, mereka bersemangat memulakan pembelajaran melalui group yang dikendalikan guru-guru mereka.
"Cuma mereka terpaksa berkongsi telefon kerana saya cuma ada dua telefon pintar saja,” katanya.
Ditanya berhubung masalah lain yang dihadapi berkaitan kaedah PdPR, Suzianah berkata, mereka terpaksa berusaha untuk mencari wang bagi membeli data internet.
"Saya bekerja di kantin sekolah namun tidak dapat bekerja berikutan keadaan sekarang manakala suami juga tidak dapat bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kini.
"Jadi pendapatan kami tidak menentu dan menyukarkan untuk membeli data internet.
"Mujur hari ini ada rezeki memukat ikan, dapatlah saya belikan data asas sebanyak RM10 untuk mereka mengikuti PdPR,” katanya.
Bagaimanapun, Suzianah berkata, pihak sekolah banyak membantu memudahkan murid dan pelajar supaya dapat mengikuti pembelajaran mereka."Semua guru anak-anak saya sangat memahami keadaan kami yang sukar mendapat liputan internet. Contohnya jika ada link yang perlu dibuka, memang sukar untuk membuka kerana masalah internet.
"Jadi guru-guru ini akan menyediakan salinan paparan skrin bagi memudahkan murid yang mengalami masalah rangkaian internet supaya dapat mengikuti sesi pembelajaran,” katanya.
Sehubungan itu, Suzianah berkata, diharap keadaan rangkaian internet di kampung mereka dapat dipertingkatkan lagi bagi memudahkan semua murid dan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian ketika ini.
"Selain itu, saya juga berharap ada pihak dapat mengambil perhatian masalah yang kami hadapi iaitu kekurangan gajet dan terpaksa membeli data internet sedangkan kami adalah golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.