SHAH ALAM - Isu kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk gabungan hanya satu sentimen bukannya prinsip, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.
Beliau tegas mengulangi bahawa kerjasama tidak bermakna untuk mewujudkan satu gabungan baharu. Sebaliknya kata Mohd Puad, apa yang paling penting adalah persefahaman bertujuan untuk kepentingan rakyat.
"Dalam mana-mana pertemuan seperti pertemuan ketua-ketua bahagian di PWTC bersama Presiden UMNO tidak berbangkit pun soal mahu wujudkan gabungan baharu dengan DAP. Dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) juga kita tidak pernah bincang tentang penubuhan satu gabungan ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa miliki jumlah kerusi mencukupi bentuk kerajaan
Presiden UMNO sudah hilang kredibiliti, kata Tun Faisal
Ahmad Maslan enggan ulas isu surat 'derhaka'
"Jadi ini yang harus difahami semua pihak. Ada dalam kalangan mereka yang cuba jadikan isu ini untuk pecahbelahkan UMNO. Ini merupakan satu sentimen, bukan prinsip," katanya ketika Facebook Live bersama Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil pada Sabtu.
Tambah beliau, suara akar umbi UMNO untuk tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi PRU15 cukup jelas.
"Pada kita, pendirian ini cukup jelas kita merasakan Bersatu tidak menunjukkan keikhlasannya sebagai rakan yang jujur yang mana kita boleh kongsi baik dari segi apa sahaja dasar-dasar yang ingin dilaksanakan.
"Walaupun sebelum ini kita berbesar hati menyokong Perikatan Nasional (PN) melalui ahli-ahli Parlimen kita, tapi dalam tempoh hampir 10 bulan ini ternyata sokongan kita tidak dihargai, walaupun diberikan beberapa jawatan tetapi tidak menghormati hierarki UMNO dan kita lihat banyak perkara tidak dibincang," katanya.
Pada masa sama beliau yakin UMNO mampu menawarkan alternatif untuk mentadbir negara dengan baik.
"Hala tuju UMNO jelas. Bila UMNO kembali berkuasa ia tetap menawarkan kemampuan dan kebolehan untuk mentadbir dan mengurus negara dengan lebih baik dan matap serta mewujudkan kestabilan politik," katanya.