KOTA BHARU - Seorang bomoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan melakukan perhubungan seksual terhadap seorang pesakit wanita pada Selasa minggu lalu.
Tertuduh, Wan Ismail Wan Md Zain, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.
Pertuduhan terhadap pengamal perubatan tradisional itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perhubungan seksual kepada wanita berusia 28 tahun itu tanpa kerelaannya dalam bilik di sebuah rumah di Kampung Permatang Pasu, Melor di sini pada jam 8.50 malam, 12 Januari lalu.
Pertuduhan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun sehingga 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Faizuan Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam awam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK).
Terdahulu, Mohd Faizuan tidak mencadangkan jaminan namun tertuduh melalui peguamnya merayu supaya jaminan dibenarkan dengan alasan tertuduh mempunyai tujuh anak termasuk empat yang masih dalam tanggungannya dan seorang isteri.
"Tertuduh juga mengalami kecacatan kekal kerana sakit tulang belakang dan pernah menjalani pembedahan memasukkan besi,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan.
Kes ditetapkan pada 23 Februari depan untuk laporan perubatan.
Tertuduh kemudian membayar wang jaminan itu.