TAWAU - Isu bangunan lama terbiar dan buruk di Sabindo di Tawau, diharap dapat diselesaikan secara baik untuk dibangunkan semula oleh kerajaan negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan mahkamah sudah ada, termasuk aspek merobohkannya namun timbul masalah dengan pemilik lama bangunan tersebut.
"Panggil pemilik, panggil perundingnya, jangan gaduh-gaduh, (kita bincang).
"Keputusan mahkamah sudah ada dari segi merobohkan (bangunan) cuma ada masalah sedikit dengan pemilik,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau meminta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong membangunkan semula kawasan bangunan tersebut selepas terbiar lama dan mencacatkan landskap daerah ini.
Dalam perkara berasingan, Mohd Shafie mahu Lapangan Terbang Tawau dinaik taraf bagi memberi kemudahan selesa selari dengan kerancakan kemasukan keluar masuk pelancong.
"Saya mahu Lapangan Tawau dinaik taraf, kawasannya sesak dengan penumpang keluar masuk, selain ada barang eksport seperti udang, kalau boleh ada tempat untuk udang disimpan dalam peti sejuk,” katanya.
Sebelum itu, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Wong Sze Phin, dalam ucapannya pada majlis itu menekan beberapa isu berkaitan daerah Tawau antaranya meminta Ketua Menteri Sabah membenarkan urusan meroboh bangunan terbiar dan buruk di Sabindo, Tawau.
Selain itu, Wong yang juga wakil rakyat Sri Tanjong turut memohon Lapangan Terbang Tawau dinaik taraf kerana melebihi kapasiti menampung kemasukan pelancong.
Beliau juga meminta pembinaan empangan Cinta Mata dapat dipercepatkan bagi menangani masalah air yang dihadapi penduduk Tawau.- Bernama