Empat serpihan peluru dikeluarkan dari kepala gajah

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini.

KINABATANGAN - Empat butir serpihan anak peluru berjaya dikeluarkan dari tengkorak kepala gajah Pygmy Borneo ketika proses bedah siasat oleh Veterinar Sepilok terhadap bangkai haiwan itu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, kematian gajah jantan itu disahkan berpunca daripada tembakan yang menembusi otak haiwan terbabit.

Iklan
Iklan

Katanya, ketika bangkai gajah itu ditemui, ia ditutup dengan pelepah pokok kelapa sawit dipercayai cuba disembunyikan dan pemeriksaan mendapati hampir keseluruhan kulit dilapah manakala kepala serta kaki di bahagian hadapan hilang dipercayai dipotong.

"Pemeriksaan sekitar kawasan berjaya menemui kedua belah telinga dan kaki hadapan gajah itu dengan jarak kira-kira 11 meter daripada badannya manakala kedua-dua gading masih dalam keadaan baik namun belalai sudah dipotong.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Gajah mati ditembak, kulit pula dilapah

"Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Veterinar Sepilok menemui tujuh kesan tembakan di bahagian atas kepala dan berjaya mengeluarkan empat butir serpihan anak peluru dari tengkorak kepala gajah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.

Iklan

Beliau dalam pada itu berkata, kes masih dalam siasatan pihaknya mengikut Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Norazmeer Azmi di talian 089-561890 atau 013-6309080 untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew meminta pihak berkuasa mempertingkatkan lagi siasatan berhubung kematian gajah itu.

Beliau berkata, pihaknya mengecam keras pembunuhan kejam haiwan itu.

"Diharap polis dapat memperhebatkan siasatan berhubung kejadian ini supaya individu atau pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan dan kita tidak akan bertolak ansur dengan pelakunya," katanya.

Terdahulu, beliau turut mencadangkan Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dapat dipinda supaya pelaku dapat dihukum dengan lebih berat lagi.

"Ini disebabkan populasi gajah Pygmy Borneo yang semakin berkurangan dan kita tidak mahu pelaku yang melakukan perkara kejam ini terlepas daripada hukuman," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui dalam keadaan anggota badan terpisah dan kulitnya dilapah di ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Imbak, Tongod pada Rabu.