Sanggup langgar SOP PKP demi upah RM500 bawa ketum

Iklan
Penganggur menyalahgunakan surat kebenaran rentas daerah untuk membawa 100 bungkusan daun ketum dari Naka di Kuala Nerang, Kedah ke Kelantan.

SIK - Demi upah sebanyak RM500, seorang penganggur sanggup melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan menyalahgunakan surat kebenaran rentas daerah untuk membawa 100 bungkusan daun ketum dari Naka di Kuala Nerang, Kedah ke Kelantan.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan sewaktu melalui sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 di Jalan Jeniang-Sik dekat sini, pada 3.30 pagi tadi.

Iklan
Iklan

"Daun ketum dianggarkan seberat 1,000 kilogram bernilai kira-kira RM10,000 itu, dibawa menggunakan sebuah lori tiga tan, dibungkus dalam plastik hitam dan dihadang dengan bakul-bakul kosong.

"Suspek mempunyai kebenaran merentas negeri yang dipercayai dipohon untuk mengambil bekalan makanan untuk haiwan ternakan di Pulau Pinang, namun telah disalahgunakan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, suspek memberi alasan desakan hidup menyebabkan dia bertindak sedemikian dan upah RM500 telah dibayar separuh sebelum bertolak, manakala separuh lagi apabila tiba di Kelantan.

"Harga pasaran semasa bagi ketum ialah RM10 sekilogram dan dijual di sana (Kelantan) sekitar RM40 hingga RM50 sekilogram. Suspek dipercayai sudah tiga kali datang ke Kedah dan dipercayai terlibat dengan pengedaran ketum sejak setahun lalu.

Iklan

"Semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek juga mempunyai empat kesalahan berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Dia direman empat hari sehingga 27 Januari ini, bagi membantu siasatan,” kata Abdull Razak.

Katanya, saman turut dikeluarkan terhadap suspek kerana melanggar SOP PKP di bawah Peraturan 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. - Bernama