Helah tak jadi...

Iklan
Dimin (kanan) menunjukkan nombor pendaftaran bot yang diubah.

KUALA KEDAH - Helah nelayan mengecat nombor pendaftaran bot dengan yang baharu selepas menceroboh dan menangkap ikan di kawasan larangan di kawasan perairan laut Kuala Sala, di sini gagal mengaburi pihak berkuasa.

Itu antara taktik digunakan nelayan terlibat bagi mengelakkan mereka dikesan sepasukan polis marin selepas berjaya melarikan diri ketika pemeriksaan.

Iklan
Iklan

Difahamkan, kegiatan bot nelayan kelas B1 dan C memasuki zon larangan terbongkar dalam operasi oleh sepasukan seorang pegawai dan 11 anggota pada jam 3 pagi semalam.

Dimin

Timbalan Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu (WI) Batu Uban, Superintendant Dimin Awang berkata, susulan itu, tiga bot kelas C dan sebuah bot kelas B1 dirampas dalam operasi itu.

Iklan

Menurutnya, pihaknya mengesan sebuah bot pukat tunda kelas B1 dan dua bot pukat tunda kelas C dikesan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan berkenaan ketika membuat rondaan lebih kurang jam 3 pagi.

"Hasil pemeriksaan, kita mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, menangkap ikan kurang dari jarak batu nautika disyaratkan.

Iklan

"Sehubungan itu, empat nelayan warga tempatan dan lapan warga Thailand berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan, manakala bot berkenaan ke Jeti Pangkalan Marin Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, dalam operasi sama, dua lagi bot pukat tunda berjaya lolos selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di kawasan berkenaan.

"Berlaku adegan kerja-mengejar antara pasukan polis marin dengan nelayan, tetapi dua bot berkenaan gagal dikesan kerana keadaan gelap-gelita ketika rondaan," katanya.

Bagaimanapun, salah sebuah bot yang lolos itu dapat dikesan kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan pelantar ikan Kuala Kedah melalui kecekapan pasukan polis marin dan maklumat.

"Melalui pemeriksaan, pihak kami mendapati nombor pendaftaran pada bot berkenaan diubah dan diwarnakan dengan cat hitam demi mengelakkan dari dikesan," katanya.

Menurut beliau, pada awalnya, bot pukat tunda berkaitan memiliki empat angka dalam nombor pendaftaran, bagaimanapun dicat hingga tinggal tiga angka sahaja.

Dimin berkata, pihaknya menahan salah sebuah bot kelas C terbabit yang telah lolos, manakala sebuah bot lagi kini sedang diburu untuk tindakan lanjut.

Kata beliau, hasil tangkapan lebih kurang 1,000 kilogram (kg) ikan berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM7,000 dan nilai keseluruhan rampasan bot pukat tunda dan barang rampasan sekitar RM1.35 juta.

"Berdasarkan pemerhatian, kita dapati ada nelayan berkenaan pernah ditahan, namun masih tidak serik dan mengulangi kesilapan yang dilakukan," katanya.

Katanya, pihaknya memandang serius isu bot nelayan menceroboh zon larangan kerana ia dikhuatiri menjejaskan hasil tangkapan nelayan tradisional.

Menurutnya, berdasarkan syarat, bot kelas B1 hanya dibenarkan menangkap ikan lapan batu nautika ke atas, manakala bot kelas C perlu menangkap ikan 12 batu nautika ke atas.