PENGURUSAN Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui bahawa pemain tengahnya, Donny Van de Beek kurang gembira di Old Trafford kerana banyak memanaskan bangku simpanan sejak berpindah dari Ajax ke kelab itu.
Bagi pengendali dari Norway itu, dia mengakui Van de Beek belum cukup bersedia untuk disenaraikan ke dalam kesebelasan utama.
"Saya akui dia tidak gembira. Dia mahukan masa bermain lebih banyak tetapi perlu membuktikan bahawa dia sememangnya layak untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.
"Setakat ini pemain-pemain yang ada (di posisi tengah) bermain dengan cukup baik. Apa yang dilaluinya ketika ini mengingatkan saya sewaktu pertama kali menyertai United.
"Ketika bekas pengurus (Sir Alex Ferguson) tidak turunkan saya pada perlawanan, saya faham dengan keputusan tersebut dan gembira apabila pasukan menang. Saya fikir Van de Beek seperti itu.
"Dia akan mendapat minit permainan yang banyak apabila sampai masanya. Dia hanya perlukan sedikit masa untuk membuktikan kemampuannya,” katanya.
Pemain berusia 23 tahun dari Belanda itu berdepan kesukaran menempatkan diri dalam kesebelasan utama United sejak menyertai pasukan itu.
Van de Beek membuat 21 penampilan musim ini dalam semua perlawanan dan bermain 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) serta hanya dua kali turun selaku pemain utama.