KOTA BHARU - Diuji dengan keadaan pasangan yang buta tidak memudarkan rasa cinta seorang isteri terhadap suaminya malah setia menjadi ‘tongkat’ penunjuk arah ketika berjalan kaki mencari rezeki sebagai tukang urut di Kampung Talang, Kadok, Ketereh di sini.
Wanita berkenaan, Fatimah Salleh, 58, berkata, dia dan suaminya, Wan Mohamed Jaafar, 78, akan keluar dari rumah mereka seawal jam 8 pagi dengan berjalan kaki sejauh lebih 20 kilometer setiap hari untuk mencari pelanggan atau berkunjung dari rumah ke rumah bergantung kepada permintaan pelanggan.
Menurutnya, mereka menjadi tukang urut selepas mata suaminya masuk habuk simen semasa bekerja sebagai tukang rumah pada tahun 1998 ketika usia 54 tahun.
"Selepas kejadian itu, suami saya dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sebelum disahkan buta,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung itu pada Ahad.
Fatimah berkata, mereka menerima upah antara RM5 sehingga RM30 bergantung kepada persetujuan pelanggan.
"Kami mempunyai lima anak yang berusia antara 22 sehingga 40-an, namun mereka juga hidup susah. Kami juga pernah makan ubi rebus yang ditanam di belakang rumah kerana tidak ada duit untuk membeli makanan,” katanya.
"Sebab itu, saya dan suami keluar mencari rezeki sebagai tukang urut. Dapatlah tampung perbelanjaan kami termasuk bayar bil air serta elektrik," katanya yang turut mengakui suaminya menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150.
Katanya, rumah yang didiaminya sekarang juga dibina atas tanah wakaf hasil bantuan wakil rakyat, namun kini keadaannya juga makin usang.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Wan Mohamed Jaafar 03010-41-00034954-2 atau hubunginya di talian 019-8232613.