Tiada perarakan Thaipusam, hanya pedati bawa arca ke Batu Caves: Annuar

Iklan

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa hanya membenarkan pergerakan pedati membawa arca Dewa Murugan ke Batu Caves, bukan perarakan seperti kelaziman ketika sambutan Thaipusam sebelum ini.

Menteri Wilayah Persekutuan,Tan Sri Annuar Musa berkata, kebenaran membawa arca itu diberikan sebagai menghormati penganut Hindu yang meraikan sambutan tersebut.

Iklan
Iklan

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah berbincang secara terperinci dan membenarkan membawa arca Dewa Murugan ke Batu Caves pada waktu tertentu yang ditetapkan, iaitu pada tengah malam atau awal pagi dengan cara tiada perarakan dan setelah tamat, ia dibawa balik dengan prosedur sama.

"Hanya 10 petugas dibenarkan dengan tidak ada muzik, perhimpunan, festival atau perarakan serta tidak boleh berhenti di mana-mana tempat tetapi dibawa dengan seberapa ringkas dan cepat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 15 surat tawaran rumah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada penduduk setinggan Kwong Tong di sini yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Mereka akan ditempatkan secara transit di Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL seperti di PA HangTuah, PA Seri Selangor dan PPR Bukit Jalil untuk tempoh enam bulan.

Iklan

Mengulas lanjut, Annuar berkata, masyarakat beragama Hindu lebih jelas dan memahami akan perkara tersebut.

"Penganut Hindu tahu tidak boleh buat perarakan dan mereka hanya meminta keizinan untuk membawa pedati bersama arca Dewa Murugan ke lokasi biasa sambutan Thaipusam diadakan.

"Jadi, MKN sangat mengambil berat tentang perkara ini dan DBKL pula akan membuat penguatkuasaan bagi memastikan semua syarat yang ditetapkan dipatuhi,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Annuar mengumumkan MKN meluluskan perarakan pedati yang membawa arca Dewa Murugan bersempena perayaan Thaipusam.

Beliau dilaporkan berkata, perarakan pedati membawa arca Dewa Murugan dari kuil Jalan Bandar ke Batu Caves ialah pada 27 Januari dan akan kembali dari Batu Caves ke kuil Jalan Bandar pada 29 Januari, namun perlu mengikut syarat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) DBKL.

Bagaimanapun, perkara itu menggusarkan banyak pihak tentang kemungkinan berlaku satu lagi penularan besar-besaran Covid-19. - Bernama