Habis minyak ketika ke hospital untuk potong gelang 'pink' rupanya

Iklan
Gambar lelaki warga emas memakai gelang merah jambu yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.

ALOR GAJAH - Polis menjelaskan lelaki warga emas memakai gelang merah jambu yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook kononnya ingkar perintah kuarantin sebenarnya kehabisan minyak ketika dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah untuk memotong gelang itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, disebabkan itu, warga emas berumur 69 tahun terbabit terpaksa berhenti untuk mengisi minyak di Masjid Tanah kira-kira 9.54 pagi Sabtu sebelum dirakam seorang individu dan ditularkan sehingga menerima pelbagai kecaman.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah diarah menjalani kuarantin di rumahnya di Pengkalan Balak bermula 13 Januari lepas hingga Sabtu dan stesen minyak Petron Masjid Tanah itu merupakan stesen minyak pertama yang dijumpai mangsa dalam perjalanan tersebut.

"Berdasarkan siasatan, lelaki berkenaan dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah bersama isteri dan anak perempuannya bagi memotong gelang merah jambu itu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurut beliau, lelaki itu hanya mengetahui gambarnya mengisi minyak tersebut tular pada Ahad selepas dimaklumkan oleh anaknya sebelum dia membuat laporan polis pada kira-kira 1 tengah hari Ahad bagi menjelaskan perkara sebenar selain meminta mereka yang berkenaan memadamkan gambar berkenaan.

Orang ramai juga diminta berhenti menularkan gambar tersebut. - Bernama

Iklan