FAM belum hantar permohonan

Iklan
Skuad kebangsaan berpeluang bermain di laman sendiri dalam tiga baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 Piala Asia 2023

NEGARA yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 perlu memenuhi tiga kriteria utama bagi melayakkan mereka untuk menganjurkan aksi tersebut secara berpusat atau karnival pada Jun nanti.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, ketiga-tiga kriteria utama berkenaan perlu disediakan oleh pihak penganjur dalam usaha menjamin keselamatan pemain serta pegawai pasukan yang bertanding sekali gus memastikan kelancaran aksi kelayakan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kriteria pertama melibatkan sistem penerbangan yang baik termasuk dengan pesawat bagi memudahkan kedatangan pasukan bertanding kerana aksi kelayakan ini tidak boleh diadakan tanpa kemudahan ini.

"Kriteria kedua, pihak penganjur perlu memiliki infrastruktur kesihatan yang baik khususnya pada ketika pandemik Covid-19 ketika ini supaya segala protokol mengenai (Covid-19) dapat dilaksanakan.

Iklan

"Kriteria ketiga, tuan rumah perlu berikan jaminan bahawa pemain dan pegawai tak perlu jalani kuarantin kerana kesemua mereka akan melalui proses ketat iaitu hanya tinggal di hotel, ke padang latihan dan ke venue perlawanan,” katanya pada Sinar Harian.

Tambahnya, ketiga-tiga kriteria utama itu juga akan melibatkan beberapa perkara lain seperti penginapan, padang latihan, makanan dan sebagainya.

Iklan

Terdahulu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusof Mahadi menyuarakan badan induk bola sepak negara itu berminat untuk menjadi tuan rumah aksi kelayakan tersebut sekiranya perlu dilangsungkan secara karnival pada Jun depan.

Mengenai hasrat FAM yang berminat menjadi tuan rumah bagi aksi kelayakan itu, Windsor berkata, perkara berkenaan seharusnya dibincangkan terlebih dahulu dengan semua negara terlibat.

Windsor Paul turut menjelaskan selain Malaysia, beberapa negara seperti Vietnam, Thailand dan UAE juga difahamkan berminat untuk menjadi tuan rumah bagi mengadakan aksi kelayakan itu secara berpusat (karnival).

Menurutnya, setakat ini tidak ada permohonan bertulis yang diterima AFC daripada mana-mana negara berhubung perkara itu.