SHAH ALAM - Dewan Perdagangan dan Industri EU-Malaysia (Eurocham Malaysia) menafikan kerajaan akan melaksanakan total lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selepas 4 Februari ini.
Pengerusi Eurocham Malaysia, Oliver Roche berkata, dalam perbincangan tidak rasmi di antara pihaknya dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada Jumaat lalu, perkara itu tidak disebutkan kementerian tersebut.
Menurutnya, surat pekeliling dalaman yang sulit dihantar kepada semua anggota mereka untuk menyampaikan keputusan perbincangan tidak rasmi tentang usaha kerajaan dalam menangani penyebaran Covid-19.
Katanya, perbincangan tidak rasmi dengan MITI bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bagaimana komuniti perniagaan dapat memainkan peranan dalam meratakan keluk Covid-19 dan kesan yang boleh berlaku sekiranya mereka tidak memainkan peranan aktif.
"Dalam konteks ini, kemudahan tempat penginapan pekerja telah dipertingkatkan berkali-kali dan ia turut disebut dalam pekeliling dalaman kami sebagai sumbangan penting dalam memutuskan rantaian penularan.
"Eurocham Malaysia juga mahu menjelaskan bahawa walaupun MITI menegaskan usaha perlu dipertingkatkan kerana jumlah kes yang semakin meningkat tapi mereka tidak menyebut tentang pelaksanaan 'lockdown' segera selepas 4 Februari 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, portal berita melaporkan kerajaan akan mengumumkan penutupan ekonomi secara total setelah 4 Februari depan sekiranya jumlah kes Covid-19 di negara ini terus menunjukkan peningkatan berdasarkan surat Eurocham Malaysia yang diedarkan kepada ahlinya.
Sumber yang dikaitkan dengan organisasi itu dikatakan mengesahkan kesahihan surat itu kepada portal Malay Mail.
Susulan itu, Oliver meminta orang ramai memberi tumpuan kepada perkara lebih besar dengan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan lockdown lebih ketat dapat dielak daripada dilaksanakan.
"Kami menghargai hubungan erat dengan kerajaan khususnya MITI dan pada pandangan kami mereka telah lakukan tugas mulia dalam menguruskan pandemik ini sejak 2020," katanya.
Oliver berkata, sebelum ini media banyak melaporkan tentang jangkitan Covid-19 yang berlaku di kilang, tapak pembinaan dan tempat kerja lain.
Justeru, katanya, komuniti perniagaan perlu didesak untuk memandang serius perkara itu dan menyediakan peruntukan untuk pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan satu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilakukan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Eurocham Malaysia, Sven Schneider berkata, walaupun pihaknya memberi tumpuan pada pandemik dan dampak negatifnya pada ekonomi, penting juga untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan untuk meratakan lengkung jangkitan.
"Pandemik ini telah mengganggu setiap aspek kehidupan sejak 2020. Oleh itu kita harus tumpukan pada kemampuan kita untuk menyumbang untuk menamatkan wabak.
"Eurocham Malaysia akan terus menjadi tonggak sokongan signifikan antara kerajaan dan komuniti perniagaan EU-Malaysia," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Surat Eurocham: Penutupan penuh ekonomi jika kes Covid-19 tak turun