Tiada kelebihan besar buat Harimau Malaya

Iklan
Wan Jamak

SKUAD Harimau Malaya tidak akan mempunyai banyak kelebihan walaupun memohon untuk menjadi tuan rumah pada baki aksi Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, ketiadaan penyokong yang dibenarkan hadir ke stadium mungkin tidak akan memberikan impak sekiranya Malaysia terpilih untuk menjadi tuan rumah aksi kelayakan tersebut.

Iklan
Iklan

"Tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi saingan kelayakan ini sudah pasti akan memberikan kelebihan buat skuad negara kerana berpeluang beraksi di gelanggang sendiri. Secara keseluruhannya, kelebihan itu memanglah ada pada kita.

"Sebagaimana yang kita semua tahu pemain ke-12 ini penting untuk memberikan sokongan kepada skuad negara. Bagaimanapun, kita tidak tahu sejauh mana penyokong dibenarkan untuk hadir ke stadium nanti kerana ia pastinya akan melibatkan kawalan yang lebih ketat.

Iklan

"Justeru, walaupun beraksi di tempat sendiri, ia mungkin akan menyaksikan skuad negara beraksi tanpa kehadiran penonton dan oleh itu pemain masih perlu bersedia dari segi fizikal dan mental bagi mengharungi aksi kelayakan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, pemerhati bola sepak, Azlan Johar berharap agar cadangan untuk menjadi tuan rumah aksi kelayakan tersebut diperhalusi terlebih dahulu berikutan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Iklan

Menurutnya, keadaan pandemik tersebut yang belum reda akan menyulitkan kelancaran aksi tersebut sekiranya diadakan di negara ini.

"Kita bimbang sekiranya secara tiba-tiba kes-kes Covid-19 di negara ini semakin meningkat ketika saingan kelayakan berkenanan sedang berlangsung nanti.

"Perkara ini akan membuatkan kita bahan ketawa di seluruh dunia dan sudah pasti kita tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya.