Perak FC bukan untuk dijual

Iklan
Skuad Perak FC giat berlatih sebelum pelaksanaan PKP bagi menghadapi Liga-M musim ini. - Foto FB Perak TBG

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) tidak pernah terfikir untuk menjual Perak FC susulan kemelut kewangan yang melanda badan induk bola sepak negeri itu.

Sebaliknya, Naib Presiden 1 PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad berkata, PAFA mahu terus memberikan fokus memperkasakan Perak FC di sebalik masalah yang melanda PAFA ketika ini.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, proses pembangunan itu perlu berterusan agar seiring dengan proses penswastaan kelab sebagaimana yang telah ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Fokus utama PAFA sekarang ini adalah untuk membangunkan Perak FC dan mencari titik pertemuan dalam usaha menyuburkan semula bola sepak Perak.

Iklan

"Kami tak boleh sewenang-wenangnya jual atau melelong kepada siapa-siapa. Kami harus berbincang dengan kerajaan negeri (Perak) sebab mereka juga ada sentimen tersendiri.

"Semua pihak masih terkejut dengan apa yang berlaku sejak beberapa hari lalu. Apa yang paling penting sekarang adalah untuk kita kenal pasti pihak yang akan menerajui Perak FC,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Pada satu sidang media khas di Ipoh Jumaat lalu, Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Presiden PAFA, Datuk Adly Shah Ahmad Tah mengumumkan peletakan jawatan masing-masing.

Pengumuman mengejut itu sekali gus menyaksikan Muhammad Yadzan bakal menjadi caretaker menjelang Kongres PAFA yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Dalam pada itu, Muhammad Yadzan berharap pertemuan beliau bersama tiga Naib Presiden PAFA dengan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed hari ini dapat menemui ‘jalan penyelesaian’.

"Saya amat berharap pertemuan kami esok (hari ini) mampu mencari solusi terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang melanda dan seterusnya memastikan survival bola sepak Perak.

"Insya-ALLAH, jika semua perkara selesai, kita bolehlah buat pelancaran logo baharu Perak FC selain melancarkan jersi baharu dan juga memperkenalkan barisan pemain dan pegawai pasukan,” katanya.