SHAH ALAM - Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang mundur sekiranya amalan rasuah di negara ini tidak ditangani secara lebih serius.
Timbalan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4B), Fahami Ashrof Badaruddin berkata, generasi muda di negara ini turut terdedah dengan budaya rasuah yang kini seolah-olah perkara biasa bagi segelintir pihak.
Berdasarkan statistik terkini, katanya, indeks rasuah di negara ini masih berada pada tahap membimbangkan dan sewajarnya ditangani secara lebih holistik.
"Jika rasuah tidak ditangani, kita akan ketinggalan dan kembali ke era sebelum ini, sedangkan negara lain terus maju dan sangat agresif melawan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas mengenai kempen Sinar Rasuah Busters, Fahami berkata, langkah itu amat bertepatan dalam situasi negara yang dilihat semakin teruk terpalit dengan isu rasuah ketika ini.
"Kempen itu dapat menyedarkan orang ramai untuk bersama-sama memainkan peranan menolak rasuah dan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Fahami berkata, GB4B juga bersedia untuk menjadi mata dan telinga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau agensi berkaitan bagi melaporkan sebarang perbuatan yang mempunyai unsur-unsur rasuah.
Bagi membendung jenayah rasuah itu, katanya, kerjasama semua pihak di setiap peringkat perlu digerakkan dalam memastikan budaya tidak sihat itu dapat dihapuskan sepenuhnya.